Warkah Sultan Buton MuhyiudSdainri A2b5d (u2l0 G07a)f u1r8 k7e -p a2d3a9 Kompeni Belanda 187 Warkah-Warkah Sultan Buton Muhyiuddin Abdul Gafur kepada Kompeni Belanda, Koleksi Universiteitsbibliotheek Leiden SURYADI ABSTRAK Salah satu koleksi yang menonjol dalam manuskrip Buton adalah warkah- warkah raja Buton yang dikirim kepada Kompeni Belanda. Kerajaan maritim yang berdaulat di bahagian timur Nusantara itu didirikan sejak abad ke-14 dan hapus pada tahun 1960 setelah berintegrasi ke dalam wilayah Republik Indonesia. Rencana ini membincangkan lima pucuk warkah daripada Sultan Muhyiuddin Abdul Gafur, sultan Buton ke-26 (1791-1799) kepada Gabernor Jeneral Hindia Belanda di Batavia. Kelima-limanya, ditulis antara 1788-1798, itu tersimpan di Universiteitsbibliotheek (UB) Leiden, Belanda. Rencana ini menyajikan transliterasi kelima-lima warkah itu yang menyentuh beberapa aspek intrinsiknya. Melalui hasil transliterasi itu, penulis cuba membina kembali peristiwa sejarah di Kesultanan Buton zaman pemerintahan Sultan Muhyiuddin Abdul Gafur. Kata kunci: Warkah, Sejarah, Sultan Muhyiuddin Abdul Gafur, VOC, Buton ABSTRACT A prominent collection of Butonese manuscript are those known as the Butonese royal letters. They were sent to local authorities in the Nusantara region, particularly those situated in the eastern part of the archipelago, as well as to the Dutch. A sovereign maritime kingdom situated in the eastern part of Indonesia, the Sultanate of Buton was established in the 14th century and disappeared as a polity in 1960 after it’s integration into the Republic of Indonesia. This paper looks at five royal letters that Sultan Muhyiuddin Abdul Gafur, the 26th Butonese Sultan, who reigned from 1791 to1799, sent to the Dutch Governor-General of East Indies in Batavia. Written between 1788 and 1798, they are now preserved in Leiden University Library in the Netherlands. Herewith is presented a transliteration of these five letters, which touch on their intrinsic aspects. Through it, some historical events that occurred in the Sultanate of Buton during Sultan Muhyiuddin Abdul Gafur’s reign are reconstructed. Key words: Letters, history, Sultan Muhyiuddin Abdul Gafur, VOC, Buton sari25-2007[13].pmd 187 06/15/2007, 15:48 188 Sari 25 PENGANTAR Koleksi warkah-warkah raja Buton adalah khazanah manuskrip Indonesia yang belum banyak mendapat perhatian daripada pengkaji. Dalam Katalog Naskah Buton koleksi Abdul Mulku Zahari, susunan Achadiati Ikram dkk. (Jakarta: Manassa [etc.], 2002), misalnya, dicatat sembilan puluh tujuh buah manuskrip Buton yang dapat digolongkan sebagai warkah. Banyaknya manuskrip warkah rasmi raja-raja Buton itu mencerminkan kekuatan Kesultanan Buton masa lalu, walaupun VOC pada mula-mulanya menganggap kerajaan itu tidak penting kerana miskin (Kielstra 1910:309). Warkah-warkah Melayu adalah sasaran kajian ramai penyelidik, kerana isinya sangat berguna bagi pemahaman sejarah, politik, bahasa, seni dan kebudayaan masyarakat tempatan. Sehubungan itu, Annabel Teh Gallop (1992:1) mengatakan: Malay letter constitute an important resource for the study of political, diplomatic and economic history of the Malay world and for the historical development of the Malay language. Oleh kerana itu, transliterasi warkah-warkah dari pelbagai daerah di Dunia Melayu perlu digiatkan, agar isinya boleh diketahui dengan lebih luas dan dimanfaatkan untuk penyelidikan kepelbagaian bidang ilmu yang berkaitan. Perhatian pengkaji kepada warkah-warkah Indonesia sudah lama muncul, khususnya di Barat, tetapi sampai sekarang warkah raja-raja Buton belum mendapat perhatian maksimal daripada sarjana. Sebelum munculnya kajian terhadap manuskrip warkah-warkah dari Nusantara sejak akhir abad ke-19, beberapa orang sarjana Belanda sudah menggunakannya sebagai bahan pengajaran bahasa Melayu dalam beberapa buku pelajaran yang disusun untuk pendidikan bahasa Melayu dan huruf Jawi bagi kadet pegawai kolonial untuk dikirim ke Hindia Belanda. Demikian terbayang dalam kata-kata H. C. Klinkert yang pernah menyiapkan faksimili beberapa warkah Melayu untuk keperluan ini: Hopende, dat deze verzameling moge blijken en bruikbaar hulpmiddel te zijn bij het onderwijs in de Maleische taal bied ik haar den studeerenden beleefd aan (Klinkert 1903; Klinkert (ed) 1899; Meursinge 1845, 1880 & Francis 1892). Pada mula-mulanya, kajian itu terfokus kepada warkah-warkah rasmi dari kerajaan-kerajaan lokal yang dikirim kepada wakil-wakil penguasa kolonial Barat, terutamanya warkah-warkah yang disebut “golden letter” dan “silver letter” yang mempunyai iluminasi yang indah. Kemudian, perhatian sarjana meluas kepada warkah-warkah dari orang biasa dan jenis warkah lain seperti warkah perjanjian, warkah jalan, warkah izin berdagang, warkah surat-menyurat ilmiah, warkah kuasa dan warkah pagang gadai (Al Azhar & Putten 1992; Putten 2001; 2003a,b; Putten & Al-Azhar 1995; Laffan 2003; Zuriati [in press]). Mereka sari25-2007[13].pmd 188 06/15/2007, 15:48 Warkah Sultan Buton Muhyiuddin Abdul Gafur kepada Kompeni Belanda 189 tertarik kepada aspek intrinsik warkah-warkah dari Nusantara, seperti isinya yang tentunya mengandungi maklumat sejarah, cap, iluminasi dan aspek sosio- linguistik (seperti gaya bahasa dan variasi tulisan Jawi) (Klinkert 1882, Juynboll 1899, Van Ronkel 1902 & 1946, Adam 1971, Ricklefs 1976, Jones 1981, Kratz 1979, 1987a,b & 1993, Gallop 1992, 1993, 1994, 1998, 1999 & 2002, Mu’jizah 1992, 2002 & 2004; Pudjiastuti 1999 & 2005a, Razak 1994a,b, 2001 & 2002a,b & 2004, dan Schulze 2002 forthcoming). Pada tahun 1898, W. G. Shellabear membincangkan warkah seorang kapitan laut (kapitalao) kerajaan Buton dari abad ke-17 (kira-kira 1667), sekitar masa pemerintahan Sultan Buton ke-10, Sultan Adilik Rahim atau La Limbata atau Oputa Mosabuna (1664-1669). Warkah itu, bersama sejumlah warkah yang lain dari raja-raja Melayu yang dikirim kepada penguasa British dan Belanda yang kini tersimpan di Bodleian Library di Oxford, England (Ab. Razak 1994b:49). Sejauh yang diketahui itulah kajian ilmiah terawal, malah mungkin yang pertama, terhadap manuskrip warkah raja Buton (Shellabear 1898: 107- 51). Antara sebab utamanya ialah koleksi manuskrip Buton lebih banyak tersimpan di Buton, khususnya di perpustakaan Abdul Mulku Zahari, seorang keturunan bangsawan Buton. Sepanjang pengetahuan saya, tidak banyak manuskrip Buton berada di luar negeri itu. Oleh itu, pengkaji luar negeri mendapati sukar untuk mengakses manuskrip Buton. Sehingga tahun 1980-an, belum ramai lagi pengkaji manuskrip, khususnya filolog, yang tertarik hati untuk datang ke Bau-Bau, bekas ibu kota Kesultanan Buton. Ini disebabkan ia terletak jauh di bahagian timur Indonesia dan bukannya kerana kesulitan mengakses kerana sifat “individualistic” dalam pengelolaan manuskrip-manuskrip Melayu, seperti yang dikeluhkan Ding (1987). Syukurlah koleksi manuskrip Buton di perpustakaan Abdul Mulku Zahari telah dikatalogkan Akhadiati Ikram dan kawan-kawan (2002), dan sebelumnya J.C. Anceaux yang juga sangat tertarik kepada bahasa-bahasa lokal di Buton. Dia telah membuat salinan foto dan mikrofilem yang kini disimpan di Koninklijk Instituut voor Taal-, Land- en Volkenkunde (KITL), Leiden, dengan kode D Or. 854. Kajian mengenai warkah-warkah dari bahagian timur Indonesia untuk penyelidikan filologi, epigrafi, linguistik dan sejarah, justeru lebih sering mengenai warkah-warkah raja Ternate. Ada beberapa warkah dari Ternate berasal dari awal abad ke-16. Ini mungkin menjadi daya tarikan ahli filolog, epigraf dan sejarawan untuk menelitinya, kerana mempunyai maklumat tentang kont(r)ak politik antara kerajaan-kerajaan peribumi Nusantara dengan orang Barat. Kajian itu telah dilakukan Blagden (1930: 87-101), Jusuf et al. (1980), Abdurrachman (1980:247-62; 1983:247-75), Wassing-Visser (1995), Gallop dan Arps (1991:39, 131) dan Gallop (2003a:400-11; 2003b:412-39). Saya mengucapkan terima kasih kepada Annabel Teh Gallop yang telah memberi saya maklumat tentang rujukan ilmiah mengenai warkah-warkah Ternate (e-mail pada 11 Mei 2005). Untunglah akhir-akhir ini, pengkaji lain sudah memberi perhatian kepada manuskrip warkah raja-raja Buton. Antaranya, Zahari sari25-2007[13].pmd 189 06/15/2007, 15:48 190 Sari 25 (1977), Gallop (2002: vol. 1, 127, 200-1; vol. 3, 497-500), Mu’jizah (2004), Pudjiastuti (2004) dan yang lain mengkaji manuskrip Buton di luar genre warkah, termasuk manuskrip undang-undang dan keagamaan (Yunus 1995a,b; Matry dkk. 1995/1996; Zuhdi 1998; Niampe 1998, 1999, 1999/2000, 2000, 2002; Ikram 2005). MANUSKRIP WARKAH RAJA-RAJA BUTON DI UNIVERSITEITSBIBLIOTHEEK LEIDEN Satu dari perpustakaan di luar negeri yang menyimpan manuskrip warkah raja- raja Buton adalah Universiteitsbibliotheek (UB) Leiden, Belanda. Di KITLV, Leiden, juga tersimpan sejumlah manuskrip Buton dalam bentuk mikrofilem dan fotokopi dalam bundel D Or.854. Manuskrip fotokopi itu meliputi keagamaan, undang-undang, catatan pentadbiran penjara selain banyak yang kabur dan sulit dibaca. Rupanya bundel itu dihebahkan Johannes Cornelis Anceaux (1920-1988) kepada KITLV. Walaupun tidak ada keterangan di mana manuskrip asalnya disimpan, tetapi besar kemungkinan Anceaux memperolehinya dari Buton (koleksi Abdul Mulku Zahari), sebab dijelaskan: “fotokopie betreffende het Sultanaatarchief”. Beliau telah menulis beberapa rencana tentang Buton, khususnya tentang bahasanya, setelah tinggal di sana beberapa lama untuk melakukan kajian lapangan. Rencana ini hanya memberi perhatian kepada koleksi warkah raja-raja Buton yang tersimpan di UB Leiden, iaitu warkah-warkah Sultan Buton yang ke-26, Muhyiuddin Abdul Gafur (1791 [!] – 1799) yang dikirimkan kepada Gabernor Jeneral Hindia Belanda di Batavia. Di UB Leiden tersimpan lapan warkah raja Buton (Wieringa 1998:303-15), iaitu: (1) Cod. Or. 2333 (55)1; (2) Cod. Or. 2240-Ia (15)2; (3) Cod. Or. 2240-Ia (24)3; (4) Cod. Or. 2240-Ia (38)4; (5) Cod. Or. 2240-Ia (44)5; (6) Cod. Or. 2242- II (3)6; (7) Cod. Or. 2242-II (15)7; 8) Cod. Or. 2242-II (16)8. Warkah yang tertua telah ditulis pada tahun 1788 (warkah no. 6) dan yang termuda pada tahun 1802 (warkah no. 8). Kecil kemungkinan adanya manuskrip warkah raja- raja Buton lain yang tersimpan di UB. Katalog Iskandar (1999:85-88) juga menerangkan koleksi manuskrip Melayu di UB dan perpustakaan lain di Belanda, tetapi tidak mencatat adanya manuskrip warkah sultan-sultan Buton yang lain, selain dari lapan warkah yang telah disebut tadi. Lima daripada warkah-warkah itu adalah atas nama Sultan Buton ke-26, Muhyiuddin Abdul Gafur, iaitu warkah no. 2, 3, 4, 5, dan 6. Kelima-limanya berbahasa Melayu dan ditulis dengan huruf Jawi. Manuskrip-manuskrip Buton, termasuk warkah-warkah, umumnya ditulis dalam huruf Jawi berbahasa Wolio (bahasa utama di Kesultanan Buton) dan bahasa Melayu. Seluruh warkah itu termasuk koleksi “Rijks-Instelling” III di UB. Maklumat bibliografi tambahan manuskrip-manuskrip dalam Koleksi “Rijks-Instelling” bahagian ketiga ini (1878) dijelaskan Wieringa (1998:283) seperti yang berikut: sari25-2007[13].pmd 190 06/15/2007, 15:48 Warkah Sultan Buton Muhyiuddin Abdul Gafur kepada Kompeni Belanda 191 The ‘Government Training College for Indian Civil Servants’ (Rijks-Instelling tot Opleiding van Indische Ambtenaren) was founded in Leiden in 1864. In 1877 it was replaced in Leiden by a municipal institution which would continue to exist till 1891. The manuscript collection of the ‘Rijks –Instelling’ was transferred at several instances between 1871 and 1878 to the Library of Leiden University (Cod. Or. 1953-2055 [except Cod. Or. 1959, 2019 and 2025]) 2199, 2233 and 2229-2268. Dalam beberapa katalog yang telah disebut tadi terdapat satu lagi warkah raja Buton yang tersimpan di UB Leiden, iaitu Cod. Or. 2240-II (9) (Wan Ali 1985:28; Wieringa 1998:384-85). Namun, warkah itu yang termasuk “silver letter”, bukanlah warkah daripada raja Buton, tetapi daripada Sultan Abunasar Muhammad dari Banten bertarikh 11 April 1807 (Pudjiastuti 2005b:173). Menurut Pudjiastuti (2005b:173) kekeliruan ini agaknya bermula dari Juynboll (1899) yang tidak dikritik penulis-penulis dahulu. Juynboll dalam katalog susunannya itu menyatakan bahawa Cod. [Or]. 2240 koleksi UB Leiden adalah “verzameling van Maleische brieven van Celebes en de Molukken” (hlm. 313). Warkah dari Banten itu dapat dikesan dengan jelas daripada kolofonnya yang menyatakan “kota Intan Surasupan [!]”(Wieringa 1998:85), yang dimaksudkan ialah Surasuwan, iaitu nama lain untuk Banten zaman dahulu. Rencana ini akan menyajikan transliterasi kelima-lima warkah Sultan Muhyiuddin Abdul Gafur itu, memperkatakan beberapa aspek intrinsiknya dan menerangkan konteks sejarahnya, khususnya keadaan sosio-politik Kesultanan Buton pada masa pemeritahan Sultan Muhyiuddin Abdul Gafur. Hasil transliterasi ini, paling tidak, akan membantu pembaca masa kini untuk mengetahui isi kelima-lima warkah itu, dan semoga bermanfaat pula untuk penyelidikan sejarah Buton, khususnya untuk lebih memperjelas dan juga rekonstruksi sejarah Buton semasa pemerintahan Sultan Muhyiuddin Abdul Gafur yang telah ditulis sejarawan masa dahulu. Diharapkan pula transliterasi ini juga dapat dimanfaatkan pengkaji daripada bidang ilmu lain seperti linguistik, selain menambah bahan penyelidikan mengenai manuskrip warkah-warkah dalam khazanah kesusasteraan Melayu klasik. SOSIO-POLITIK KESULTANAN BUTON Berikut ini adalah gambaran umum tentang sistem ketatanegaraan tradisional Kesultanan Buton yang menjadi konteks budaya dan sejarah kelima-lima warkah yang berkenaan. Buton dalam pengetahuan orang Indonesia moden (dan juga mungkin di Malaysia) sering dihubungkaitkan dengan aspal, kerana bahan untuk pengeras jalan itu adalah hasil tambang yang utama di Buton. Pada tahun 1920- an insinyur Belanda menemui potensi aspal di Buton (Boethe 1928). Ternyata Buton memiliki sejarah yang panjang, lebih dari sekadar negeri penghasil aspal. Kesultanan Buton (atau Butun atau Wolio) dahulunya adalah sebuah kerajaan maritim yang berdaulat di bahagian timur Indonesia (Zuhdi 1999). sari25-2007[13].pmd 191 06/15/2007, 15:48 192 Sari 25 Wilayah Kesultanan Buton, yang terletak antara 121,40° dan 124,50° LS dan antara 4,20° dan 6,20° BT, meliputi gugusan kepulauan di jazirah tenggara Pulau Sulawesi, iaitu Pulau Buton (di sini terletak kota Bau-Bau di mana istana kerajaan dibina), Pulau Muna (atau Woena atau Pancano), Pulau Kabaena, pulau- pulau kecil antara Pulau Buton dan Muna (iaitu Pulau Tiworo, Tikola, Tobeya Besar dan Tobeya Kecil, Makassar [Liwotu], Kadatua [Kadatowang], Masiring, Bata Oga, Siompu, Talaga Besar dan Talaga Kecil), Kepulauan Tukang Besi (terdiri daripada Pulau Wangi-Wangi, Kaledupa, Tomia dan Binongko), Poleang dan Rumbia di jazirah Sulawesi Tenggara, Pulau Wowoni dan sejumlah pulau kecil lain yang terletak di sela-sela pulau tersebut dan tidak kelihatan di peta (Encylopaedie 1917: 104-05; Zudi dkk. 1996:5; Yunus 1995a:22). Kepustakaan klasik mengenai Kesultanan Buton boleh dirujuk pada kajian Ligvoet (1878), Kielstra (1908), Elbert et al. (1911, 1912), Broersma (1930) dan Van den Berg (1939). Cerita rakyat setempat mengisahkan bahawa Kesultanan Buton didirikan oleh pendatang dari Johor dan Sumatera (Abidin [1968]), kemungkinan perantau dari Minangkabau. Mereka disebut mia patamiana (empat orang), iaitu Sipajonga, Simalui, Sitamananjo dan Sijawangkati (Yunus 1995a:17). Namun, ada juga yang mengaitkannya dengan Sawerigading, nenek moyang mitos orang Bugis (Abidin 1968; Rasyid 1998:1-5,75-79). Pada mulanya, corak pemerintahannya berbentuk kerajaan yang diperintah dinasti Ratu Wa Khaa selama dua abad, bermula sejak tahun 1332. Menurut cerita rakyat Buton, Ratu Wa Khaa Khaa ditemui dari dalam bambu (Abidin 1968). Mitos kelahiran seorang puteri atau pangeran dengan motif seperti ini ditemui juga di tempat lain di Nusantara. Namun, ada juga versi lain yang mengatakan Ratu Wa Khaa Khaa adalah puteri Kubilai Khan dari Dinasti Mongol (Ircham M. 1999:48- 49). Corak pemerintahan Buton itu berubah menjadi kesultanan pada tahun 1538 setelah rajanya Lakilaponto (raja ke-6) memeluk Islam dan disebut sultan pertama dengan gelaran Sultan Muhammad Kaimuddin 1 atau Sultan Murhum (Zuhdi et al. 1996:11; Schoorl 2003:15). Kesultanan Buton adalah “sahabat” sejati Belanda sejak zaman VOC. “Persekutuan ‘abadi’ antara Buton dengan VOC” – meminjam kata-kata Schoorl (Ibid) - bermula sejak tahun 1613 ketika Kapten Apollonius Scotte, wakil Gabernor Jeneral Pieter Both di Batavia, mengikrarkan persekutuan abadi dengan Sultan Buton, La Elangi (Corpus Diplomaticum 1907: 1e deel, 104-08). Buton perlu mencari sahabat kuat seperti VOC kerana kerajaan itu selalu direbut dua kerajaan tetangganya yang ingin memperluaskan jajahan: Makassar dan Ternate. Persahabatan itu langgeng sampai VOC runtuh pada tahun 1669 dan terus berlanjutan sampai akhir zaman penjajahan Belanda di Indonesia. Sebagaimana yang terakam dalam warkah-warkah Sultan Muhyiuddin yang diperkatakan ini, persekutuan abadi itu menjadi landasan hubungan antara raja-raja Buton sesudahnya dengan Kompeni. Generasi raja-raja Buton penerus Sultan La Elangi dengan Kompeni selalu saling mengingatkan agar tetap memelihara persekutuan sari25-2007[13].pmd 192 06/15/2007, 15:48 Warkah Sultan Buton Muhyiuddin Abdul Gafur kepada Kompeni Belanda 193 abadi itu dan selalu berusaha “membaiki dan menetapi bunyi waad perjanjian yang lama daripada zaman yang dahulu sampai sekarang dimuliakan kepada dua pihak”: antara “Kompeni dengan Buton” (Warkah B baris ke-7 & 8). Penduduk Buton terdiri daripada tiga kumpulan etnik: (1) suku Wolio yang mendiami Pulau Buton (pulau utama), bahagian selatan dan Kepulauan Tukang Besi dan pulau-pulau kecil di sekitarnya; (2) suku Maronene yang mendiami Pulau Muna, Kabaena, Buton bahagian utara, Poleang, Rumbia di jazirah tenggara Sulawesi; (3) suku laut bajoe (bajau) yang mendiami pesisiran pulau- pulau Buton, Muna dan beberapa pulau yang lain (Yunus 1995a:23). Orang Buton memiliki semangat bahari dengan corak kebudayaan yang berkait dengan laut dan adalah satu kumpulan etnik perantau di Indonesia (Southon 1995; Abdul Munafi dkk. 2002; Tenri & Sudirman 2002; Schoorl 1993:66-69). Struktur masyarakat Buton masa dahulu terdiri daripada empat lapisan sosial. Pertama, golongan kaomu atau kaumu (kaum ningrat), iaitu keturunan garis bapak dari pasangan raja pertama. Laki-laki dari golongan ini mempunyai nama depan La Ode dan wanitanya Wa Ode. Kedua, golongan walaka, iaitu keturunan menurut garis bapak dari founding fathers Kerajaan Buton (mia patamiana). Mereka termasuk elit penguasa. Melalui sistem tertentu, lelaki kaomu boleh menikahi perempuan walaka. Ketiga, golongan papara atau disebut juga “orang gunung” (Encyclopaedie 1917:16), iaitu anggota masyarakat biasa yang tinggal di wilayah kadie (desa) dan masih merdeka. Mereka disebut juga budak adat (Schoorl 1986) dan dipertimbangkan untuk menduduki jabatan tertentu di wilayah kadie, tetapi sama sekali tidak mempunyai jalan kepada kekuasaan di pusat. Keempat, golongan babatua (budak) yang berhak diperjual- belikan atau dijadikan hadiah (seperti tercermin dalam bahagian penutup kelima- lima warkah yang diperkatakan). Laporan-laporan Belanda menunjukkan budak adalah antara mata dagangan yang utama di Buton. Hal ini sudah disebut Gabernor Jeneral Jan Pieterzoon Coen selepas dia berkunjung ke Buton pada tahun 1614. Dalam Warkah C (baris ke-20) juga disebut orang yang “terjual” alias budak. Maklumat lanjut tentang perbudakan di Buton masa lalu telah dikaji Schoorl (2003:104-7, 111-19) dan perbudakan di Hindia Belanda telah dikaji Reid (1983). Selain itu, terdapat dua lapisan antara analalaki dan limbo. Mereka adalah golongan kaomu dan walaka yang diturunkan darjatnya kerana melakukan kesalahan sosial dan berlaku tidak pantas sesuai dengan status sosialnya (Schoorl 2003:213-14). Berdasarkan struktur pemerintahannya, wilayah Kesultanan Buton terdiri atas tiga bahagian (Yunus 1995a:v). Pertama, wilayah wolio atau keraton yang menjadi pusat pemerintahan dan pengembangan Islam ke seluruh wilayah kesultanan. Wilayah wolio hanya boleh dihuni golongan kaomu dan walaka (bangsawan). Kedua, “wilayah kadie” (wilayah di luar keraton, seluruhnya berjumlah 72 kadie) yang dimiliki golongan penguasa dan dihuni golongan papara. Ketiga, kerajaan-kerajaan kecil yang disebut “wilayah barata”, yang memiliki pemerintahan sendiri tetapi tunduk ke bawah kekuasaan pemerintah sari25-2007[13].pmd 193 06/15/2007, 15:48 194 Sari 25 pusat setelah ditaklukkan. Ada empat wilayah kekuasaan barata yang masing- masing dipimpin lakina barata dari golongan kaomu, iaitu: 1. Barata Muna yang berpusat di Raha, di pesisir timur bahagian tengah Pulau Muna; 2. Barata Tiworo yang berpusat di Tiworo; 3. Barata Kalingsusu (Kalincusu) yang berpusat di bahagian timur pulau Buton; 4. Barata Kaledupa yang berpusat di Kaledupa (Yunus 1995:22). Barata harus membela Kesultanan Wolio melawan musuh-musuhnya. Lebih jauh mengenai kewajipan barata terhadap Kesultanan Wolio (Buton), (Schoorl 2003:92). Kekuasaan pusat dipegang golongan kaomu dan walaka yang berkedudukan di Keraton Wolio di Bau-Bau. Mereka menjadi penguasa yang tertinggi untuk ketiga-tiga wilayah itu (wolio, kadie dan barata). Sultan sebagai penguasa yang tertinggi kerajaan itu dibantu beberapa pejabat yang tinggi di pusat dan pejabat- pejabat di daerah. Secara umum, birokrasi Kesultanan Buton adalah seperti yang berikut: 1. Pangka atau pejabat teras (rijksgroten) atau dewan swapraja yang disandang golongan kaomu dan walaka, yang terdiri daripada (1) sapati (kaomu), kenepulu (kaomu), lakina surowalio (kaomu), lakina baadia (kaomu); (2) orang kopitalao: kapitalao sukanayo dan matanayo (kaomu)9, dua orang bonto ogena (menteri besar): bonto ogena sukanayo dan matanayo (walaka). 2. Sarana (Dewan) Wolio terdiri daripada semua bobato (kaomu) dan bonto (walaka).10 3. Siolimbona (sembilan kepala wilayah pemerintahan daerah) daripada golongan walaka yang menguasai adat dan bertugas menjaganya.11 4. Sarana hukumu adalah badan yang mengurus dan mengawasi masalah yang berhubung dengan ajaran Islam dan ibadah. Mereka adalah lakina agama, imamu (imam) dan hatibi (khatib). Kesemua mereka berasal daripada golongan kaomu. 5. Kakitangan khas kesultanan meliputi bonto inunca atau kakitangan di istana (walaka)12; bontona lencina kanjawari, iaitu kakitangan khas yang membantu tugas-tugas tertentu (termasuk Bonto Isana dari golongan walaka); kakitangan yang lain iaitu: juruba[ha]sa (walaka)13, kapita, sabandara (syahbandar) (kaomu)14 sebagai otoritas pelabuhan, talombo yang membantu bonto ogena (menteri besar) sebagai penyampai maklumat dan pengumuman penting dari sultan, pangalasan15 yang bertugas membantu bonto ogena dalam mengumpulkan pajak (weti).16 sari25-2007[13].pmd 194 06/15/2007, 15:48 Warkah Sultan Buton Muhyiuddin Abdul Gafur kepada Kompeni Belanda 195 Pentadbiran harian Kesultanan Buton dijalankan sepenuhnya oleh pangka dengan Sultan sebagai pimpinan yang tertinggi. Namun, dalam urusan yang penting, antaranya diplomasi ke luar, unsur bonto dan bobato wajib diajak serta dan dibawa berunding (lihat refleksinya dalam warkah-warkah dalam rencana ini). Kesultanan Buton dihapuskan pada tahun 1960 tidak lama setelah sultannya yang terakhir, La Ode Falihi, mangkat (Schoorl 2003:212). TRANSLITERASI Berikut disajikan transliterasi kelima-lima warkah Sultan Muhyiuddin Abdul Gafur. Berdasarkan sistem pengalihaksaraan huruf Jawi ke Rumi yang berlaku secara internasional, kata tertentu tidak boleh diubahsuaikan dengan ejaan Malaysia moden (misalnya, kata karena yang dalam transliterasi tidak mungkin diubasuaikan menjadi kerana), sementara kata lain boleh diubahsuaikan dengan ejaan Malaysia moden (misalnya iaitu kerana huruf Arab boleh berkorespondensi dengan y, i, atau e dalam bahasa Melayu). Warkah-warkah itu diberi nama Warkah A, Warkah B, Warkah C, Warkah D dan Warkah E bagi memudahkan perbincangan. Penamaan itu berdasarkan urutan tahun dikeluarkan warkah-warkah itu, bermula dari yang tertua (1788) sampai yang paling muda (1798). Lihat Rajah 1. Sebagai catatan pertanggungjawaban, transliterasi kelima-lima warkah itu dibuat untuk tujuan pembaca umum. Oleh itu, proses transliterasi yang bersifat teknis filologis akan cuba dielakkan. Hanya kata-kata yang tertentu, yang meragukan dan arkib, diturunkan edisi diplomatiknya dalam nota dengan tawaran berbagai kemungkinan pembacaan dari penulis. Seperti yang diketahui, manuskrip warkah-warkah Nusantara dalam huruf Jawi amat kurang tanda baca: ayat demi ayat dan perenggan demi perenggan saling bersambung terus-menerus. Pengalihaksara menambahkan tanda-tanda baca, mengekplisitkan perenggan, yang maksudnya tidak lain supaya pembaca kini mudah memahami isi warkah-warkah itu. Untunglah dalam warkah-warkah Sultan Muhyiuddin ini terdapat semacam penanda perenggan, iaitu kata-kata seperti syahdan, waba’dahu dan seperkara lagi yang dicetak tebal oleh jurutulis istana Buton. Unsur-unsur lain dalam warkah-warkah itu yang dicetak tebal adalah: kepala surat, kata-kata pertama ayat pembuka dan pada bahagian yang tertentu, nama Gurnadur (Gubernur) Jenderal Hindia Belanda di Batavia ini agaknya dimaksudkan sebagai tanda penghormatan. Pengalihaksara mempertahankan cetak tebal itu dalam transliterasi. Angka dalam tanda kurung siku mengacu kepada nombor baris dalam versi manuskripnya (versi Jawinya). Penulisan kata ulang dengan memakai angka 2 dipertahankan. Tanda “< >” dalam teks transliterasi merujuk kepada adanya ditografi dan tanda “{ }” menunjukkan adanya haplografi. sari25-2007[13].pmd 195 06/15/2007, 15:48 196 Sari 25 Dalam kelima-lima warkah itu terdapat banyak istilah yang berhubung dengan sistem politik dan pemerintahan Kesultanan Buton (seperti bobato, pangalasan, jurubahasa). Selain itu, terdapat juga banyak kosa kata bahasa Arab yang mencerminkan kuatnya pengaruh Islam di Kesultanan Buton. Kata- kata dan idiom-idiom dalam bahasa Arab yang ditemui dalam kelima-lima warkah itu dicetak mereng dan bersama nama-nama jabatan dan istilah-istilah lokal dalam struktur birokrasi Kesultanan Buton disenaraikan dalam glosari. Nama tempat dan orang yang disebut dalam kelima-lima warkah itu disenaraikan dalam indeks. Penulisan beberapa kata adalah cukup unik. Ini barangkali disebabkan pengaruh dialek bahasa Melayu ke atas orang Buton atau ia mencerminkan keadaan bahasa Melayu yang sedang mencari bentuk semantik dan nahu yang boleh diterima orang Buton dalam tuntutan penggunaannya yang semakin meluas di Nusantara pada abad ke-19, yang masing-masing daerah dengan speaking community yang berbeza-beza menawarkan pelbagai kemungkinan. Misalnya, perkataan bermaklumkan kadang-kadang ditulis dengan kelainan memaklumkan. Demikian pula perkataan pergi ditulis peragi dan tabi tanpa huruf /k/atau glotal stop di belakangnya: tabik. Selain itu, perkataan (pulau) Seram di Maluku ditulis Seran dan Surabaya (ibukota Jawa Timur) ditulis Sarubaya. Banyak ditemui kata kerja memeri dan menengar, bentuk afiksasi bahasa Melayu yang tampaknya arkib dan tua. Bentuk ini banyak ditemui dalam manuskrip Aceh dari zaman yang lebih awal (Ab. Razak 1994b) dan cenderung menghilang dalam manuksrip Melayu dari abad ke-19. Penulis belum dapat menjelaskan mengapa bentuk ini ditemui dalam warkah-warkah raja Buton. Penulis beranggapan mungkin golongan elit di istana Buton banyak membaca manuskrip Islam dari Aceh, mengingatkan Buton, seperti Aceh, kuat dipengaruhi Islam (Yunus 1995a,b). Hal itu tentu mempengaruhi pilihan bahasa jurutulis di istana Buton. Beberapa ayat yang mengandungi unsur penggandengan dua perkataan yang bersinonim dengan struktur tertentu. Misalnya, (1) Arab-Melayu seperti ‘waad perjanjian’, “kharij keluar”; (2) Melayu-Arab, “akhir al-satar”; (3) Melayu-Melayu (yang kebanyakannya merupakan kosa kata pinjaman dari bahasa Arab dan bahasa-bahasa Eropah), seperti “warta khabar”, “usia-umur”, “pangkat darjah” dan “terusan-astaraq” (Suryadi 2005). Kata-kata yang tertentu diberi tambahan fonem /h/ di belakangnya. Misalnya, perkataan tuah (untuk tua), istanah (untuk istana), ayahandah (untuk ayahanda), Jawah (untuk Jawa) dan Walandah (untuk Walanda). Juga ditemui inkonsistensi dalam penulisan kata sudah: kadang-kadang ditempatkan tanda tashdid (atau shaddah) di atas huruf dal, yang mestinya dibaca suddah. Juga kata sedia yang kadang-kadang ditulis seddia (dengan tanda tashdid di atas huruf dal), perkataan khabar ditulis khabbar (dengan tanda tashdid di atas huruf ba). Beberapa perkataan yang lain juga ditulis dengan tambahan tanda tashdid, misalnya, telah dengan tanda tashdid di atas huruf lam dan tetapi dengan tanda sari25-2007[13].pmd 196 06/15/2007, 15:48
Description: