Fiqh Versi Alam Melayu : Satu Analisis Sejarah Rahimin Affandi Abdul Rahim, Ahmad Farid Abdul Jalal, Badlihisyam Mohd Nasir, Wan Zailan Kamarudin Wan Ali, Abdul Halim Ismail, Nor Adina Abdul Kadir, Amirulhakim bin Ahmad Nadzri, Amienah binti Ridzwan @ Ridz & Mohd Emran bin Mohd Noor. Universiti Malaya Pengenalan Hukum Islam adalah bersifat progressif dilihat kepada kaitannya dengan perkembangan masyarakat. Ini kerana hukum Islam timbul dari realiti sebenar dan hasil respon fuqaha terhadap apa yang berlaku di dalam masyarakat. Lebih tepat lagi, ia bukan dibuat secara ramalan semata- mata ataupun daripada ruang yang hampa (innihilo).(Mujiyono Abdillah 2003 : 1-3) Memandangkan perkembangan sesuatu masyarakat itu sentiasa bersifat dinamik dan kerap berubah seiring dengan perubahan waktu, ruang, keadaan, tradisi and motivasi; hukum Islam secara otomatik perlu mengikut elemen-elemen perubahan ini secara berhemah.(Saleh Faghizadeh : 2004), Pandangan fuqaha Islam ini terbukti bersifat dinamik, khususnya apabila dirujuk dengan beberapa bukti yang utama; Realiti keterbukaan sistem fiqh Islam dengan realiti masyarakat untuk setiap zaman. Bagi sarjana orientalis, mereka kerap mengemukakan teori yang mengatakan bahawa perundangan Islam telah menjadi tertutup dan beku selepas tertutupnya pintu ijtihad pada abab keempat hijrah. Sebaliknya bagi Hallaq, proses dialektika antara sistem fiqh Islam dengan realiti masyarakat masih lagi berlangsung di zaman Taqlid, kerana seseorang sarjana Islam yang melakukan aktiviti syarah dan Muhktasar terhadap karya imam mujtahid turut memasukkan komentar pandangan mereka sendiri terhadap reality yang berlaku di zaman mereka.( Hallaq 1996: 33-43) Wujudnya prinsip utama syariah yang dirumuskan oleh fuqaha yang menetapkan bahawa hukum Islam itu perlu berubah mengikut perubahan masyarakat dari pelbagai aspek. Sejarah perkembangan hukum Islam menyaksikan bagaimana prinsip perubahan ini sentiasa diambilkira oleh kalangan umat Islam, terbukti dengan wujudnya tiga dimensi fiqh yang utama; dimensi wilayah (fiqh Hijaz, Fiqh Irak, Fiqh Mesir, Saudi Arabia dan lainnya); dimensi ketokohan individu (Fiqh Hanafi, Shafi'i, Malik, Hanbali and lainnya) dan dimensi waktu (fiqh klasik, zaman pertengahan and moden). Bagi memperincikan prinsip dinamisme dan perubahan hukum Islam ini kita perlu melihatnya dengan memberikan penekanan kepada beberapa aspek-aspek yang pasti timbul selaras dengan perubahan masyarakat, aspek waktu, ruang, keadaan, tradisi dan motivasi. Bagi prinsip waktu ini, Yusuf Qardawi menegaskan bahawa fuqaha Islam tidak boleh secara kaku dan jumud menetapkan hukum bagi sesuatu masalah hanya untuk waktu tertentu. Sebabnya, sebahagian hukum Islam adalah hasil usaha ijtihad fuqaha tertentu yang ditetapkan berasaskan kepada maslahah waktunya yang tersendiri- sudah pasti ia berbeza dengan ruang waktu fuqaha di zaman terkemudian. 54 Jadi, berasaskan kepada latar belakang ini, kajian ini akan cuba memperincikan sistem fiqh versi Alam Melayu yang wujud pada abad ke 16-18. Pihak penulis berpendapat bahawa era abad ini merupakan era terpenting dalam sejarah perkembangan hukum Islam di Alam Melayu. Abad Ke 16 Sebagai Era Formatif Keilmuaan Islam Alam Melayu Andainya Abid Jabiri (Muhammad Abid Al-Jabiri :1989) menegaskan bahawa zaman Sahabat hingga Imam Mujtahid merupakan zaman formatif untuk sistem fiqh Islam, yang menetapkan asas metodologi hukum Islam; maka di era abad ke 16-18 di Alam Melayu merupakan era formatif untuk keseluruhan ilmu-ilmu Islam. Daripada asas era inilah pelbagai ilmu Islam telah berkembang dengan pesat. Intipati terpenting daripada pandangan ini adalah keilmuan Islam berpunca daripada pemahaman terhadap sumber Islam sendiri, dan bukannya hasil peniruan daripada sumber dan tamadun asing, seperti mana ditegaskan oleh sarjana orientalis. (T.J. De Boer, 1994: 28-29) Kita akan menghujahkan dengan beberapa perkara utama; Seperti mana kedatangan Islam telah mengangkat martabat dan mentamadunkan bangsa Arab, hal yang sama telah berlaku kepada umat Melayu-Islam. Islam dalam banyak hal telah memperkenalkan World-view Tauhid dan budaya ilmu kepada masyarakat Melayu. World-view adalah pandangan dunia, hidup, kepercayaan dan pemikiran yang berfungsi sebagai pemankin untuk segala perilaku manusia.( Muhammad Abu Bakar 1993 : 307-309) Secara konstektualnya, abad ke 16-18 merupakan era terpenting dalam sejarah keagungan tamadun Islam di Alam Melayu. Hal ini bertepatan dengan teori yang diutarakan oleh S.M. Naqquid al- Attas . Kedatangan Islam ke Alam Melayu tidak berlaku secara sekaligus, tetapi ia ditakdirkan Allah berlaku secara berperingkat-peringkat, yang amat berbeza perkembangan dan kesan keIslaman ke atas masyarakat Melayu di dalam setiap peringkat perkembangannya. Mengikut S.M.Naqquid al-Attas yang menegaskan tentang proses pengIslaman di Alam Melayu, yang telah melalui tiga zaman utama. Pertama, zaman antara tahun 1200-1400 iaitu zaman pengIslaman masyarakat Melayu secara zahir dan luaran semata-mata (nominal conversion). Kedua, zaman antara tahun 1400-1700 yang dijelaskan sebagai zaman pengIslaman masyarakat Melayu secara zahir dan batin yang antara kesannya adalah tersebarnya ilmu pengetahuan yang cukup mengalakkan dalam pelbagai bidang pengajian Islam. Ketiga, zaman antara tahun 1700 ke atas, yang digambarkan sebagai zaman penerusan idea daripada kedua, dan kemudiannya telah terganggu dengan kedatangan kuasa barat di Tanah Melayu.( S.M. Naquid al-Attas 1969) Jadi, berasaskan kepada teori ini, kita dapat memaklumi zaman Aceh iaitu di akhir zaman kedua dan ketiga merupakan zaman keagungan tamadun Melayu-Islam. Latar Belakang Sejarah Alam Melayu Abad 16-18 Sebagai asas logistiknya, era abad ke 16-18 ini dicirikan dengan beberapa perkembangan yang memankinkan lagi kelahiran konsep fiqh Alam Melayu. Antara perkembangan ini; Wujudnya Budaya Ilmu dan Sistem Tulisan Jawi Yang Menjana Perkembangan Ilmu Islam. Melalui penemuan artifak tertua di Tanah Melayu, Batu Bersurat Terengganu yang bertarikh 22 Februari 1303M, kita dapat mengesan beberapa perkara ;( Rahimin Affandi Abd Rahim, 2010) 55 Masyarakat Melayu Terengganu antara golongan terawal memeluk Islam di Alam Melayu. Hal ini bukannya berlaku secara superficial (luaran semata-mata), tetapi turut diperkuatkan dengan pelaksanaan Syariah Islam di dalam kehidupan bermasyarakat. Masyarakat Melayu di Terengganu telah mengamalkan undang-undang Islam secara holistik dalam aspek Jenayah, Munakahat, Muamalah dan Politik. BBT berfungsi sebagai rujukan bagi seseorang pembesar dan masyarakat awam Melayu agar setiap perlakuan hidupnya bersesuaian dengan kehendak Islam.( Abdul Rahman Abdullah 1999: 60-61) Bagi D.G.E. Hall, sebelum Batu Bersurat Terengganu ini wujud, perundangan Islam telah bertapak lebih daripada seratus sebelumnya.( D.G. E. Hall 1968: 255) Lebih penting lagi, penulisnya adalah seorang yang terpelajar dalam bidang keagamaan Islam, kerana memang mengetahui agama Islam dan ilmu usul al-fiqh secara holistik. Apa yang jelasnya, kita mengetahui intipati isu kefahaman akidah Islam dan mekanisme pelaksanaan hukum Islam.( Rahimin Affandi Abd Rahim, 2003: 158-179) Batu Bersurat Terengganu ini menjadi mercu tanda penciptaan tulisan Jawi dalam dunia intelektual Alam Melayu. Merujuk kepada asal usul penciptaan dan penggunaan tulisan Jawi dalam masyarakat Melayu, kita terpaksa berterima kasih dengan sumbangan Ulama Melayu Islam terawal yang telah mengasaskan dan memperkayakan Bahasa Melayu (Amran Kasimin 1987) dalam bentuk tulisan Jawi, yang dijadikan sebagai alat untuk memperkembangkan keilmuan Islam.( Omar Awang 1981) Fenomena yang mengambilkira elemen tempatan dalam bentuk memilih bahasa tempatan sebagai medium untuk penyebaran ilmu agama telah dilakukan oleh sarjana Islam di kebanyakan dunia Islam, seperti penciptaan tulisan Urdu di India dan tulisan Parsi di Iran berteraskan dari segi bentuknya kepada bahasa Arab dengan sedikit sebanyak pengubahsuaian.( Omar Awang 1980) Batu Bersurat di Terengganu ini muncul akibat daripada sistem Pondok tradisional di Terengganu yang berjaya menerapkan world-view sejati kepada masyarakat Melayu. Wujudnya Kekuatan Sosio Politik Dan Keilmuan Islam Yang Dimainkan Oleh Kerajaan Aceh. Di peringkat global masa itu, iaitu pada era pasca Perang Salib, ummah Islam memang memperjuangkan idealism teori kerajaan Dar Islam dan Dar Harbi. Sememangnya bangsa Arab lebih terkehadapan daripada bangsa Eropah dalam menguasai jalan dagang antara timur dan barat.( Anthony Reid 1990, v. 24: 5) Oleh itu, mereka lebih memahami bagaimana sistem politik - perdagangan dunia secara makro dijalankan.( Hussain Ali Tahtooh 1987) Hal ini kemudiannya dikonstruk oleh sarjana politik Islam dalam teori politik Islam. Sejak awal lagi, pedagang barat terpaksa bergantung kepada maklumat daripada bangsa Arab untuk mengetahui realiti dunia Alam Melayu. (Thomas Braddel 1851, v. 5: 18) Hasilnya, sejak awal lagi kedua bangsa memaklumi terdapat dua blok kuasa besar dunia berasaskan kekuatan agama dan ketenteraan; Blok Islam dan bukan Islam (diwakili oleh Portugis/ Kristian yang memang memusuhi blok Islam). Di kalangan blok Islam pula, terdapat beberapa blok ; (i) Turki yang memegang status khalifah Islam dan kuasa ketenteraan;( A.C.S. Peacock 2015: 63-87) (ii) Mughal dan Saljuk yang juga memiliki kuasa ketenteraan yang kuat; (iii) Timur Tengah menjadi pusat keilmuan Islam dan (iv) blok Alam Melayu (Shaharil Talib 1997, 3: 132-135) yang memerlukan naungan daripada blok i,ii dan iii. Contohnya, isu penjajahan Portugis di Melaka telah dibincangkan secara meluas oleh pemimpin umat Islam dalam musim haji di Mekah. 56 Dari segi strategiknya, kesemua blok Islam ini memahami kepentingan perpaduan ummah Islam yang membabitkan; 1. Kepentingan menguasai jalan perdagangan laut dan darat di antara Lautan Hindi dan Laut Merah. Lebih penting lagi, Alam Melayu memang dimaklumi memiliki potensi bahan mentah yang sangat diperlukan oleh masyarakat dunia pada masa itu. Hal ini disahkan dengan fakta kawasan Alam Melayu menjadi pusat utama dikunjungi kapal asing untuk mendapatkan bahan mentah yang diperlukan oleh masyarakat dunia. Banyak kapal-kapal Eropah dilaporkan datang berdagang di Alam Melayu, khususnya di Aceh.( Mohammad Hannan Hassan 2014: 61-63) Pihak barat mengakui seperti diulas oleh pentadbir Portugis di Asia, Jorge de Lamos (1585); andainya Aceh dan Alam Melayu berjaya dijajah nescaya Portugis akan menguasai jalan dagang dunia; "Sumatra is such a wonderful thing, and contains such great riches, that I dare to affirm (according to what many experienced old men related, whom I overheard when they were conversing with the viceroy of India) that it could well be considered as the equal of England, of which the scriptures speak so highly.” Tegasnya lagi, “The conquest of Atjeh would give the Spanish- Portuguese Crown the economic resourses where with to destroy not only ‘the Heresiarchs and their followers’, but to recover all Christian territory lost to the Muslims (including Jerusalem), and to overthrow the Ottoman Empire.”( C.R. Boxer, 1969 ,10, no. 3, 424) 2. kepentingan memberi bantuan ketenteraan kepada sesama blok Islam dan kesepakatan menyebar dan menerbitkan karya ilmu Islam daripada kesemua blok ini. Sejarah mencatatkan bagaimana karya-karya Islam daripada pelbagai blok tersebar dan diterbitkan di kawasan tertentu dalam blok-blok ini; Istanbul, Bombay, Alam Melayu, Mesir dan Mekah.( Md. Sidin Ahmad Ishak 2000: 26-34) Merujuk kepada peranan Aceh dalam memperjuangkan agenda politik Islam, kita dapat mengenalpasti beberapa perkara; Pertama, Aceh adalah kuasa besar Islam yang mampu menghalang perkembangan agama Kristian yang menjadi agenda utama penjajah Portugis. Ia semakin ketara selepas kejatuhan Melaka kepada Portugis. Pemerintah Aceh dalam paparan sarjana barat digambarkan sebagai kerajaan yang ganas dan suka menumpahkan darah orang barat yang berbeza agama. Dicatatkan oleh sejarahwan Portugis bagaimana pemerintah Aceh enggan berhubung dengan baik apabila berhadapan dengan rombongan pedagang Portugis. Catatan sejarah Portugis menerangkan bahawa pihak Portugis beberapa kali cuba untuk mengelakkan peperangan secara baik, kerana matlamat mereka adalah untuk menjalankan perdagangan dengan kerajaan lain di Alam Melayu. (Snouck Hurgronje 1985) Mereka juga menggambarkan secara berlebihan berkenaan kehebatan tentera Portugis berbanding dengan tentera Aceh. Kerajaan Aceh dikatakan berusaha memonopoli sumber rempah di Alam Melayu dengan menyerang dan memusnahkan ladang lada hitam di kawasan lain. Aceh juga dikatakan suka menyerang kawasan lain untuk memperluaskan kuasa dan diikuti dengan dasar membawa balik tawanan perang ke Aceh untuk dijadikan hamba dan gundik. (William Clarence Smith 2007: 14) Hamba-hamba ini dikatakan dizalimi oleh masyarakat Aceh. Masyarakat Aceh dikatakan mempunyai ramai hamba dan gundik untuk kepentingan pembesar Aceh.( Ingrid Saroda Mitrasing 2011: 232-256) Sarjana barat juga melalui catatan pengembara asing telah menggambarkan Aceh mengamalkan sistem undang-undang hudud yang sangat zalim dan tidak berperikemanusiaan.( Jajat Burhanudin 2014, 52, no. 1: 25-58) 57 Sekiranya Aceh tidak mengambil langkah proaktif ini, besar kemungkinan masyarakat Alam Melayu akan menganggap perkembangan agama Kristian sebagai perkara biasa. Lebih penting lagi penjajah Portugis dicatatkan dalam sejarah sebagai bangsa yang suka menggunakan kaedah kekerasan terhadap masyarakat Islam. Selain itu, mereka juga kerap menggunakan kaedah tipu muslihat dalam penyebaran agama Kristian. Hasil usaha Aceh ini memang terbukti berjaya menghalang perkembangan agama Kristian dan mengekalkan dominasi Islam di Alam Melayu.( Charles Tisdall 1916, v. xxxiv: 348-349) Kedua, Aceh mewujudkan jalinan ukhuwah Islam sesama umat Islam Alam Melayu. Ia seperti menyediakan tapak yang kondusif untuk perkembangan Islam. Usaha Aceh memerangi kuasa penjajah Portugis dan merapatkan hubungan dengan negeri Melayu telah berjaya mewujudkan ikatan persaudaraan Melayu Islam (the Allied Malay Nationalism) berasaskan hubungan antara kerajaan Aceh, Minangkabau, Tanah Melayu dan Banjarmasin. Walaupun kesemua lokasi ini agak besar dan jauh tetapi usaha ke arah mewujudkan perpaduan ini sentiasa dilakukan.( M. Dien Madjid 2012, v. 4(1): 1-17) Usaha Aceh ini dianggap seperti pagar yang menjaga kawasan ummah Islam daripada pencerobohan kuasa kafir. Hal ini turut didokong dengan penggunaan bahasa Melayu sebagai Lingua Franca di antara kerajaan Melayu dan lebih penting lagi ianya menjadi alat terpenting bagi perkembangan keilmuaan dan intelektual Islam pada abad ke 17.(Amirul Hadi ,2004) Ketiga, Aceh mempunyai hubungan yang kuat dengan kerajaan Ottoman, menjadi pembantu melawan kuasa penjajah dan bertindak sebagai penaung kepada kapal yang membawa jemaah haji Alam Melayu.( Ermy Azziaty Rozali ,2014, 5,no. 29: 93-99) Hasilnya, seperti mana dijelaskan dalam catatan Abdullah Munsyi, keadaan kapal jemaah haji Alam Melayu yang dahulunya penuh dengan kesulitan telah menjadi semakin baik dan terjamin. Dasar hubungan Aceh-Ottoman ini menyumbang kepada kewujudan masyarakat jawi di Haramayn (ulamak dan pelajar Melayu yang mendalami dan menyebarkan ajaran Islam. Masyarakat jawi ini kemudiannya menyumbang kepada wujudnya jalinan intelektual antara Alam Melayu dengan Haramyn. Ia secara langsung telah mempercepatkan pemerkasaan world-view dan keilmuaan Islam di Alam Melayu dalam bentuk yang tidak pernah terjadi sebelum ini. ( Azra Ayumardi, 2015,v. 8: 69-87) Versi Fiqh Alam Melayu Dalam bahagian ini, kita akan menunjukkan bagaimana fiqh Islam yang terawal di Alam Melayu dalam binaan konsep asasnya memang mempunyai ciri-ciri konsep fiqh semasa. Lebih penting lagi, ia telah meletakkan asas terpenting (formatif) bagi system fiqh Islam itu sendiri. Walaupun konsep fiqh semasa (tempatan) hanya dikenali pada abad 20, tetapi asasnya memang telahpun wujud sejak zaman awal Islam di Alam Melayu khususnya pada abad 16-18. Hal ini terbukti apabila sebahagian daripada intipati konsep ini telah pun wujud dalam tempoh masa yang lebih awal lagi di Alam Melayu. Lagipun, saranan ini mempunyai precedent di dalam sejarah pembinaan hukum Islam. Sebagai contohnya, walaupun Imam Shafici telah digelar sebagai arkitek utama yang mencipta Ilmu usul al-fiqh, tetapi pada dasarnya kaedah ilmu usul al-fiqh ini telah pun wujud dan diamalkan secara meluas oleh kebanyakan fuqaha dalam tempoh masa yang lebih awal lagi. Sebaliknya sumbangan yang dimainkan oleh Shafici adalah menerang dan menyusunnya secara sistematik berbanding dengan fuqaha sebelumnya.( N.J. Coulson, 1964: 53 dan 55) 58 Bagaimana Konstruk Fiqh Islam Di Alam Melayu Abad Ke 16-18 Fiqh Islam versi Alam Melayu sejak awal memang berasaskan kepada elemen ontology, epistemology dan aksiologi yang khusus. Ia kemudiannya menjadi disiplin baku yang diteruskan penulisannya hingga pada zaman moden. Mengikut perspektif Islam, proses pembangunan sesuatu tradisi ilmu perlu bergantung kepada sumber tradisi (turath) yang menjadi asas terpenting. Tradisi ini kemudiannya perlu berinteraksi dengan realiti tempatan mengikut zaman; realiti Alam Melayu sehingga mewujudkan tradisi ilmu baru; Manhaj Islam Alam Melayu. Di sini terletak keunggulan Islam, bila mana sifat ummah Islam sangat dinamik dan sentiasa terbuka dengan perubahan yang menjadi lumrah dalam kehidupan. Ini bermakna ummah Islam memang melalui elemen kesinambungan dan perubahan (continuity dan changing), contohnya seperti mazhab yang telah dominan kerangka metodologinya akan melalui proses pembaharuan (islah) bagi memperkemaskan lagi kewujudannya (Ismail Raji Faruqi, 2000: 51-55) Sejarah keilmuan dunia mencatatkan bagaimana sesuatu doktrin dapat bertahan lama seandainya ianya memenuhi empat syarat utama; pertama, kesahihan logika dan argumen, kedua; menarik perhatian orang untuk diikuti, ketiga; mampu diterapkan terhadap kes yang dihadapi (apllicable) dan keempat; ianya mempunyai mekanisme untuk proses islah memperbaharui idea yang lama tanpa meninggalkan asas tradisi yang penting. Apa yang jelas, keempat-empat perkara ini memang dimiliki oleh tradisi Islam Alam Melayu, sehingga mendorongnya untuk kekal sehingga sekarang.( Amir Mualim, 2006: ix-xi) Asas tradisi turath milik warisan Timur Tengah akan sentiasa bertembung dengan pelbagai realiti masalah yang wujud di Alam Melayu. Antaranya seperti masalah bid'ah, budaya feudal sesat yang melanggar asas agama dan sebagainya. Adunan daripada tradisi Timur Tengah dan Alam Melayu kemudiannya melahirkan tradisi dan formula Islam Alam Melayu yang bertepatan dengan realiti budaya tempatan. Ontology Ia mengajarkan beberapa kefahaman khusus yang berkait dengan aspek ontologi (apa dia -subject matter) fiqh Islam; Pertama, penganut Islam adalah Mukhalaf yang wajib memahami dan mengamalkan Islam di peringkat kognitif, afektif dan psikomotor. Sistem fiqh sejak awal difahami sebagai garis panduan bertindak bagi anggota masyarakat. Bagi memastikan ia sentiasa relevan untuk keperluan zaman dan tempat maka fuqaha Melayu telah menyediakan panduan fiqh yang tidak menyusahkan. Mereka memahami bahawa masyarakat Melayu yang baru menerima Islam sangat memerlukan suatu kerangka fiqh yang cukup berhemah. Atas dasar itu, soal ibadah adalah isu terpenting yang diberikan penekanan utama. Ia perlu bagi memastikan kaedah yang tepat bagi menjalinkan hubungan dengan Allah dapat dijalankan. Langkah ini berjalan seiring dengan ajaran Tauhid yang benar-benar murni tanpa ada elemen syirik dan unsur-unsur Bid’ah. Di samping itu juga, fuqaha Melayu memahami bahawa sistem fiqh ini perlu disesuaikan dengan latar belakang masyarakat tempatan, agar dapat menjawab masalah lokasi terbabit. Atas dasar itu elemen tempatan diterapkan dalam hukum Islam. Hal ini terbukti apabila fuqaha Melayu membahaskan pelbagai masalah yang timbul di dalam masyarakat Melayu, dengan bantuan daripada sumber fiqh Timur tengah. Dalam lipatan sejarah fiqh Alam Melayu, kita dapat menemui kupasan fuqaha dalam isu-isu merangkumi 59 isu kepenggunaan, kepimpinan wanita dan isu ketatanegaraan.( Khalif Muammar Haris, 2011, 29 (1) : 79-101) Dalam konsteks sejarah perundangan Islam di Alam Melayu, pemahaman ini telah melahirkan beberapa teori khusus, bagi memperlihatkan nisbah pengamalan hukum Islam dalam kehidupan bermasyarakat. Ia merangkumi;( Imam Syaukani,1999: 67-86) Teori kredo dan Syahadah. Mengikut teori ini, apabila seseorang itu memeluk Islam, mereka wajib melaksanakan hukum Islam di dalam kehidupan sehariannya. Proses Islamisasi Alam Melayu secara langsung telah menyebabkan hukum Islam dijalankan dan hal ini didorong dengan kewujudan institusi beraja Islam yang kemudiannya mewujudkan institusi kehakiman Islam dan sistem pengajian perundangan di dalam masyarakat. Teori Receptio in complexu. Memandangkan wujudnya institusi politik dan pendidikan Islam yang cukup kuat di dalam masyarakat Melayu-Islam, hukum Islam telah mendapat tempat yang cukup kuat di dalam masyarakat sehingga ia telah menjadi adat kebiasaan (Urf) dan asas untuk jati diri ataupun terdalam di dalam masyarakat Melayu. Iatelah sebati menjadi elemen pola cita dan kelakuan di dalam kebudayaan Melayu. Dominasi kedua teori ini difahami oleh sarjana-pentadbir barat (British dan Belanda) di Alam Melayu yang kemudiannya mereka bersusah payah mengutarakan Teori Reception Exit. Teori ini timbul dengan kedatangan kuasa penjajah barat yang menguasai ruang politik dan epistemology masyarakat Melayu sehingga telah mengacau dan mengugat perkembangan sistem perundangan Islam yang selama ini telah secara tuntas dijalankan. Mereka menekankan memang wujud perbezaan antara hukum Islam dan hukum Adat. Jadi, hukum Adat perlu diutamakan dalam masyarakat mengantikan hukum Islam. Mereka berusaha meminggirkan hukum Islam yang dikatakan bersifat out of dated dan perlu diganti dengan sistem perundangan barat yang kononnya lebih bersifat moden. Usaha penjajah ini kemudiannya telah semakin parah lagi apabila sistem pendidikan perundangan barat diperkenalkan mengantikan sistem pendidikan Islam yang dipinggirkan daripada arus perdana. Akibatnya, telah lahir beberapa orang pengamal undang- undang di Malaysia yang begitu taasub dengan sistem perundangan barat Kedua, mukalaf Islam perlu mengamalkan world-view kehidupan yang sepatutnya dalam kehidupan bermasyarakat. Ia terdiri world-view Tauhid, mementingkan budaya ilmu, Rationalistik, prinsip societal (sifat kepedulian hidup bermasyarakat) dan world affirmative (dunia sebagai tempat berguna) - mementingkan kepentingan hidup dunia dan akhirat.( Rahimin Affandi Abd Rahim, 2007: 235-328) Ketiga, ia mengajarkan konsep alam mempunyai hirakinya yang berlapis yang boleh dipelajari mengikut hiraki sumber yang khusus. Terdapat dua realiti kewujudan alam; mikro kosmos (diri manusia) dan makro kosmos (Alam sekitar dan alam ghaib). Hiraki kewujudan terbahagi kepada alam nyata dan alam ghaib. Manusia boleh mengetahui kesemua maklumat tentang alam ini bersesuaian dengan sumbernya yang betul. Alam dunia boleh diketahui dengan akal (kajian ilmiah), manakala Alam Ghaib boleh diketahui dengan sumber wahyu setakat yang dibenarkan kecuali zat Allah dan Ruh. Untuk alam makro kosmos pula, ia terdiri daripada Alam sekitar, langit dan alam Samawi yang tidak terduga sifatnya. Kewujudan di alam Ghaib terdiri daripada Malaikat, jin dan Syaitan. Hasil penelitian yang dibuat oleh Prof. Hashim Musa terhadap tipologi sejarah tamadun Alam Melayu, mendapati manusia Melayu pandangan world-view yang bersumberkan 60 wahyu Allah. Antaranya, mempercayai alam ini hasil ciptaan dan tabdiran Allah yang mencakupi alam primordial (arwah), alam dunia dan alam akhirat. Alam akhirat adalah destinasi dan natijah muktamad dari kehidupan di alam dunia. Kejayaan hakiki di alam akhirat adalah dapat memasuki syurga dan kejayaan di alam dunia adalah ketaatan kepada Allah.( Hashim Musa, 2001: 48-49) Epistemologi (Isu Had Dan Sumber Ilmu) Seperti mana ditegaskan dengan cukup tuntas oleh S.M.Naquid al-Attas, sumbangan Islamisasi terbesar di Alam Melayu adalah membabitkan soal epistemology ilmu.( S.M. Naquid al-Attas, 1988: 53-54) Di dalam sesuatu kajian ilmiah, terdapat suatu pendekatan yang menetapkan bahawa proses pengkajian yang mendalam terhadap sesuatu hakikat ilmu ataupun disiplin tertentu perlu dilihat kepada aspek epistemologi disiplin tersebut. Hal ini bersesuaian dengan takrif dan ruang lingkup epistemologi yang menyelidik asal usul, sumber, sifat, kaedah dan had sesuatu ilmu tersebut.( Fadzulullah. Hj. Shuib, 1995:33) Demi untuk menerangkan tentang elemen epistemology ilmu yang diperkenalkan oleh sarjana abad ke 16 ini, kita perlu melihat kepada beberapa perkara di dalam kupasan fuqaha awal ini. Persoalan Asal Usul Dan Sumber Hukum Islam. Secara asasnya, syariah Islam berpunca daripada kehendak Allah yang Maha Berkuasa secara mutlak berasaskan kepada konsep tauhid Uluhiyyah dan Rububiyyah. Dalam konsep tauhid Rububiyyah, Allah yang berkuasa penuh di dalam mencipta, mendidik dan menjaga umat manusia dengan menganugerahkan syariahnya yang lengkap. Kesempurnaan syariah ini diturunkan adalah bagi tujuan membimbing dan mengurangkan sifat-sifat kelemahan asasi yang dipunyai oleh manusia. Berikutnya, apa yang lebih penting lagi konsep membantu kelemahan diri manusia telah dilengkapkan lagi dengan bantuan kerasulan yang berperanan mengajar dan mengasaskan perundangan yang paling praktikal untuk umat manusia bersesuaian dengan konteks zamannya. Jalinan yang erat antara wahyu Allah dan perutusan kerasulan ini telah menjadi sumber yang paling asas di dalam perundangan Islam, yang dikenali sebagai sumber wahyu, terkandung di dalamnya semua perkara dan nilai asas Islam yang amat diperlukan oleh umat manusia sehingga kiamat. Di samping sumber wahyu ini, syariah juga mengakui peranan dan potensi akal manusia di dalam menentukan persoalan hukum Islam berpandukan garis panduan yang termaktub di dalam sumber wahyu. Hal ini berasaskan pengakuan dan tindakan Rasulullah sendiri yang menerapkan pendekatan menghidupkan penggunaan akal terpimpin di dalam pendidikan perundangannya yang difahami secara langsung oleh para sahabat. Kebenaran dan pengakuan terhadap kemampuan fungsi akal ini kemudiannya telah dikembangkan lagi oleh fuqaha dengan lebih mendalam di dalam penulisan usul al-fiqh yang mengakui sumber hukum kedua selepas sumber wahyu (Naqli) adalah sumber ijtihad (Aqli). Hasilnya, fuqaha telah melanjutkan perbincangan berkaitan dengan peranan akal ini di dalam beberapa bahagian yang khusus, pertamanya, penerangan yang mendetail tentang sumber hukum tambahan lain yang timbul daripada sumber hukum Aqli ini. Antaranya adalah Qiyas, ijmak, Istihsan, Maslaha, Siyasah syariah, Masalih Mursalah dan sebagainya.( Umar Jah, 1977: 31-40) 61 Namun begitu, penggunaan akal perlu dikawal sepenuhnya agar ia tidak terlalu bebas dan statik. Pendekatan ini boleh dilihat dari kupasan fuqaha yang menyentuh persoalan ruang lingkup, objektif dan fungsi sistem perundangan Islam. Kebanyakan fuqaha membahagikan hukum Islam kepada bidang ibadah dan mu’amalah. Bidang ibadah serta strukturnya secara khusus diterangkan di dalam sumber wahyu secara terperinci dan ia tidak membuka ruang yang luas untuk akal manusia campur tangan. Manakala bidang mu’amalah yang pada kebiasaannya banyak bergantong kepada keadaan hidup yang sentiasa berubah telah diberi ruang yang luas untuk akal manusia. Jadi, soal-soal yang berkaitan dengan hubungan sesama umat manusia banyak diserahkan kepada umat Islam untuk memikir dan menentukannya sendiri. Namun begitu, penentuan akal manusia ini perlu berdasarkan kerangka dan landasan yang terdapat di dalam sumber wahyu. Isu Autoriti Semua ajaran Islam, khususnya hukum Islam perlu disandarkan pada sumber wahyu dan karya ulama silam. Perkara ini secara langsung mengajar masyarakat Melayu bahawa: Pertama, sumber ilmu perlu berasaskan kepada sumber yang boleh dipertanggungjawabkan, bukannya berasaskan sumber dongeng dan mitos. Lebih praktikal lagi, idea dan ilmu Islam daripada Timur Tengah telah diterjemahkan dalam bahasa Melayu (dalam bahasa yang mudah difahami) dan diresapi dengan unsur-unsur tempatan Alam Melayu. Ia bagi mengajar masyarakat Alam Melayu yang baru memeluk Islam bagaimana memahami akidah (elemen kognitif) dan mengamalkan Islam dalam kehidupan seharian. Kedua, wujudnya perbezaan yang jelas di antara Syariah dan sistem fiqh. Syariah mempunyai beberapa ciri yang khusus; (i) bersifat sangat murni dan tidak mengandungi apa-apa cacat cela (muqaddas), (ii) kebenarannya adalah bersifat mutlak dan tanpa syarat, (iii) cakupannya adalah lengkap dan komprehensif (syumul) dan (iv) kuatkuasanya adalah bersifat alami iaitu universal, abadi dan kekal untuk selama-lamanya.( Mahmood Zuhdi Ab. Majid, 1999: 2-3) Berbanding dengan konsep syariah, konsep fiqh adalah merujuk kepada usaha pemahaman dan penafsiran seseorang fuqaha terhadap sumber syariah (Quran dan Sunnah) bagi membuat kesimpulan hukum dengan menerima pakai kaedah perundangan Islam. Atas dasar inilah ia bersifat relative dan fuqaha dibenarkan untuk bersikap kritikal, review dan bebas samada hendak menerima pakai ataupun sebaliknya terhadap kandungan sesuatu karya fiqh Islam.( Mohd Daud Bakar, 1999: 29- 37) Ketiga, isi asas ilmu Islam diambil dan diterjemahkan daripada sumber ulama Timur Tengah bagi memastikan transmisi ilmu yang paling berautoriti diperolehi. Lebih tepat lagi, Kitab Jawi yang dihasilkan oleh ulama Melayu menjadi pengantara untuk idea Islam Timur Tengah diperolehi oleh masyarakat Melayu.( Faudzinaim Hj Badaruddin, 2012, 1: 19-25) Sebagai contohnya, sanad ilmu Islam daripada autoriti muktabar seperti Imam Ghazali diterima oleh dua generasi ulamak Haramayn yang diperturunkan kepada pelajar Alam Melayu.( Nurman Said ,1996, 3: 21-42) Pada abad ke 17, sanad Ahmad al-Qushasi dan Ibrahim Al-Kurani telah diperturunkan kepada Abdul Rauf singkel dan Muhammad yusuf al-makassar. Pada abad ke 18 pula, sanad Abu Tahir Ibrahim Al-Kurani, Muhammad Hayya Al-Sindi dan Muhammad Abdul Karim Al-Sammani diperturunkan kepada Abdul Samad Al-Palembani, Muhammad Arshad Al-Banjari dan Daud Abdullah Al- Patani.( Azra Ayumardi, 2015, 8: 76-77).Lebih khusus lagi, hasil penelitian lanjut, kita mendapati sumber rujukan kitab Turath Timur Tengah yang kerap dipakai adalah daripada jenisnya yang paling muktabar pada masa tersebut. Ia telah melalui proses tapisan dan pemurnian (al-tanqih 62 mazhab) yang cukup ketat bagi memastikan hanya pandangan mazhab Shafii yang terpilih yang diterima pakai.( Jamalluddin Hashim, 2009,17 : 267-298) Contohnya; Minhaj al-Talibin Wa ‘Umdah al-Muftin. Manhaj al-Tullab dan Fath al-Wahhab Al-Anwar Li A‘mal al-Abrar. Fath al-Jawwad Sharh al-Irshad. Mughni al-Muhtaj Ila Ma‘rifah Ma‘ani Alfaz al-Minhaj. Tuhfah al-Muhtaj Bi Sharh al-Minhaj. Pergantungan Kepada Formula Mazhab Konstruk ilmu perlu bergantung kepada Mazhab Ahl Sunnah Wal Jamaah. Tindakan berpegang kepada mazhab ASWJ ini dilaksanakan bukan secara sewenang-wenangnya. Secara kasar, mazhab merupakan paradigma berfikir mengikut world-view dan kaedah syariah yang diasaskan oleh fuqaha tertentu. Ia lahir daripada tradisi Islam sendiri dan merupakan kemuncak dari satu proses pembentukan world-view yang panjang.( Rahimin Affandi Abd. Rahim ,2005: 332-265) Atas dasar itu, diharuskan berpegang kepada Mazhab Shafi’i yang merupakan formula bersifat flexible yang memberikan garis panduan terhadap setiap persoalan yang muncul dalam kehidupan manusia. Ia dilakukan kerana beberapa faktor yang utama; 1. Ia menetapkan ulama sebagai pentafsir utama kepada ajaran agama. Hal ini boleh dirujuk kepada keabsahan konsep taqlid dan ijtihad. Dalam konsep taqlid, ia mengharuskan masyarakat awam untuk bertaqlid kepada mujtahid, berasaskan kepada nisbah ketidakmampuan seseorang awam untuk memahami ajaran agama Islam secara mendalam. Sikap yang hanya bergantung sepenuhnya kepada prinsip taqlid ini kemudiannya cuba dibataskan dengan penerimaan kepada konsep ijtihad dan tajdid. 2. Pendekatan ini ditetapkan bukannya bertujuan untuk memonopoli usaha pentafsiran agama kepada golongan ulama semata-mata, tetapi ia dilakukan bagi mengelakkan sebarang tindakan rakus daripada masyarakat awam yang jahil tentang prinsip asas Islam, melakukan tafsiran melulu dan boleh merosakkan nama baik Islam itu sendiri. 3. Faktor perpaduan dan keseragaman diperlukan bagi memastikan wujudnya kestabilan hidup sosio-politik umat Islam. Hal ini bakal memudahkan proses penguatkuasaan dan pentadbiran undang-undang Islam dijalankan. Gaya Persembahan Kitab Jawi Buat pertama kalinya, melalui kitab jawi, masyarakat Alam Melayu didedahkan dengan kaedah penulisan ilmiah yang dapat menjana rasionalism. Ianya berbeza sama sekali dengan karya Melayu sebelum Islam yang penuh unsur-unsur mitos. Hashim Musa telah membuat perbandingan antara maklumat dalam sastera Melayu warisan Hindu-Buddha dengan kitab jawi zaman Islam daripada dua petikan yang berikut:( Rozita Che Rodi, 2014, 2(1):. 6) Hikayat Si Miskin atau Marakarma (zaman Hindu-Buddha) “Di negeri Anta Beranta memerintah Maharaja Indera Dewa. Di sana tinggal si-Miskin dan isterinya yang sangat papa. Kedua mereka dahulu raja di Indera Kayangan tetapi kerana sumpah Betara Indera terbuang ke bumi. Mereka dinyahkan dengan tongkat dan batu dari istana, kampung 63
Description: