ULASAN BUKU Tilong, Adi D. Air putih terapi kesihatan yang mujarab Batu Caves, Selangor : Ar-Risalah Product, 2014. 172ms. ISBN 978-967-448-006-6 ULASAN Buku ini sangat berguna kerana mengandungi huraian yang mendalam tentang sifat- sifat air. Air bukan hanya sekadar dijadikan minuman semasa kehausan atau selepas makan. Air juga bukan sekadar cairan tetapi merupakan sejenis zat atau sumber utama mineral untuk kehidupan manusia, selain haiwan dan tumbuhan. Air sangat diperlukan oleh tubuh sebagai nutrisi yang diperlukan untuk kesihatan dan keutuhan sel dalam badan. Penulis juga memberi penekanan tentang kepentingan air dalam tubuh manusia agar dapat membentuk sel-sel baru, memelihara dan menggantikan sel-sel yang rosak. Selain itu, air juga berperanan melarutkan dan membekalkan nutrisi, oksigen dan hormon ke seluruh tubuh manusia, melarutkan dan mengeluarkan toksik dari dalam tubuh. Air juga bertindak sebagai pemangkin tubuh yang sihat, menstabilkan suhu badan dan mematahkan pertembungan bagi organ vital di dalam tubuh. Selain itu, air Sari Pustaka Bil 1/2015 1 putih mempunyai banyak manfaat jika diambil secara betul, dalam maksud tidak kurang dan juga tidak lebih. Ini kerana manfaat air putih yang dapat kita rasakan secara langsung bagi tubuh adalah sebagai penghilang rasa dahaga. Selain oksigen atau udara dan makanan, tubuh juga memerlukan air untuk mengangkut zat-zat gizi ke seluruh tubuh. Pengambilan air secara teratur dan mencukupi juga dapat meningkatkan fungsi hormon, memperbaiki kemampuan hati untuk memecah dan melepaskan lemak serta mengurangi rasa lapar. Menurut penulis juga organ-organ tubuh yang paling tinggi kandungan airnya ialah darah dan otak yang mengandungi hingga 90% dan 95% cairan. Begitu besarnya peranan air dalam tubuh manusia hingga kadangkala air dimasukkan sebagai zat gizi keenam setelah karbohidrat, protein, lemak, vitamin dan mineral. Buku ini turut menyentuh tentang risiko dan masalah kesihatan yang akan dihadapi sekiranya kekurangan air dalam tubuh manusia. Ini kerana tubuh manusia memerlukan antara satu sampai tujuh liter air setiap hari untuk menghindari dehidrasi. Namun jumlah sebenarnya air yang perlu diminum bergantung pada tahap aktiviti, suhu, kelembapan dan beberapa faktor lainnya. Buku ini turut memaparkan rahsia kajian dan penelitian yang dilakukan oleh seorang ilmuan Jepun, Dr. Masaru Emoto yang menyatakan bahawa air juga ‘hidup’ dan dapat memberikan tindak balas yang positif ataupun negatif terhadap manusia. Kajian ini menyokong pengubatan alternatif menggunakan air. Air yang diberi tindak balas positif termasuk doa, akan menghasilkan bentuk kristal ais berbentuk heksagonal yang indah dan dapat memberikan kesembuhan pada penyakit-penyakit yang berat sekalipun. Penemuan ini turut memberi pengalaman baru dan menakjubkan bagi khalayak, dalam membuktikan bahawa air ternyata hidup dan dapat bertindak balas terhadap apa yang disampaikan oleh manusia. Di samping itu, penulis turut menghuraikan tentang terapi air yang diamalkan oleh nenek moyang terdahulu dalam menyembuhkan pelbagai jenis penyakit. Ini adalah berdasarkan hasil penemuan oleh peneliti Jepun bahawa terapi air putih ini dapat Sari Pustaka Bil 1/2015 2 mengatasi beberapa gangguan kesihatan seperti sembelit, kencing manis, sakit kepala, gangguan ginjal, radang sendi, gangguan telinga, hidung dan kerongkong. Bagi melakukan terapi juga tidak susah, bahkan dapat dilakukan sendiri. Semua pakar kesihatan sependapat bahawa terapi air dengan meminum air sangat baik untuk kesihatan dan untuk mencegah tubuh dari kekurangan air. Selain itu, dengan meminum air secara rutin dan konsisten dikatakan akan memberikan penampilan awet muda. Adalah diharapkan buku ini dapat memberi panduan kepada pembaca agar lebih memahami keistimewaan dan khasiat air. Air ternyata mempunyai manfaat yang tidak kurang mujarabnya dari ubat-ubat mahal dalam menyembuhkan penyakit. Saranan penulis tentang pengambilan air dalam jumlah yang cukup setiap hari perlu diberi perhatian untuk melancarkan sistem pencernaan. Persembahan beserta ilustrasi yang menarik dan penggunaan bahasa yang mudah difahami memberi nilai tambah kepada buku ini. Pengulas: Nurhafiza Jalil Penolong Pengarah Bahagian Sumber Elektronik Perpustakaan Negara Malaysia Sari Pustaka Bil 1/2015 3 ULASAN BUKU Widyastuti, Alida Aneka herba ajaib merawat kanser pada wanita. Ed. bahasa Melayu Batu Caves, Selangor : Ar-risalah Product, 2014. 268ms. ISBN 978-967-0268-95-8 ULASAN Buku ini dialih bahasa dari bahasa Indonesia oleh Nur Thairah Syamsuddin. Edisi bahasa Melayu diterbitkan semula oleh Ar-risalah Product Sdn.Bhd. pada tahun 2014. Buku ini mengandungi maklumat tentang penyakit kanser di kalangan wanita dan apa yang ingin dikongsikan oleh penulis dalam buku ini adalah rawatan dan penyembuhan penyakit ini secara semulajadi menggunakan tanaman herba. Buku ini mempunyai 268 halaman bercetak dan digarapkan dalam tiga bahagian. Penulis memaparkan jenis-jenis penyakit kanser yang dihidapi oleh wanita, memfokuskan kepada tanaman yang boleh merawat kanser dan tips berkaitan kanser pada wanita. Ramai yang sedia maklum bahawa kanser atau barah merupakan ancaman terbesar bagi penduduk dunia. Tidak kira lelaki atau wanita, bangsa, atau warna kulit semua gerun apabila membicarakan hal kanser apatah lagi jika menghidap penyakit ini. Antara Sari Pustaka Bil 1/2015 4 kanser yang mengancam nyawa kaum wanita ialah kanser payudara, kanser serviks (pangkal rahim), kanser rahim, kanser ovari, kanser vulva, kanser vagina dan endometriosis. Penulis turut memberikan penerangan tentang jenis penyakit kanser yang sering dihidapi dan bagaimana khasiat herba pilihan yang boleh dijadikan terapi semulajadi sebagai salah satu cara rawatan penyakit pembunuh nombor satu wanita ini. Melalui buku ini penulis mendedahkan hasil kajian beliau selama tiga tahun terhadap penulisan terdahulu dan carian internet daripada laman sesawang pakar perubatan moden dan tradisional mengenai khasiat herba-herba menjadikan naskhah ini penuh dengan ilmu berkaitan dengan pencegahan kanser. Antara herba tradisional yang popular dalam kalangan masyarakat Malaysia sejak turun temurun ini ialah bawang merah, benalu belimbing, bidara upas, brokoli, buah delima, buah zaitun, cakar ayam, halia, jintan, peria, betik dan sebagainya. Terdapat 40 jenis herba terpilih yang dihuraikan dalam buku ini. Khasiat herba-herba ini telah dibuat kajian oleh pengkaji yang bertauliah. Maklumat mengenai herba-herba yang terpilih yang terkandung dalam naskhah ini adalah lengkap dan mudah dijadikan rujukan kepada pembaca dan pengkaji seterusnya. Buku ini amat berguna untuk mereka yang berminat mengenali tumbuhan herba namun tidak berpeluang melihat sendiri disebabkan tumbuhan herba ini jarang dijumpai pada hari ini. Maklumat seperti nama herba, huraian tanaman, manfaat dan kebaikan serta ilustrasi yang disertakan dapat memberi gambaran yang lebih jelas kepada pembaca. Penggunaan bahasa yang mudah difahami, ringkas dan jelas dalam penyampaiannya menyebabkan buku ini sesuai untuk dibaca oleh golongan remaja dan dewasa khususnya wanita yang ingin mengetahui lebih mendalam tentang penyakit kanser. Pengulas: Norhamiza Mohamad Hanopiah Penolong Pengarah Pusat Rujukan Malaysiana dan Luar Negara Perpustakaan Negara Malaysia Sari Pustaka Bil 1/2015 5 ULASAN BUKU Mohd Safuan Abd Rahman Buat duit dengan hartanah Shah Alam : Mohd Safuan bin Abd rahman, 2014. 132ms. ISBN 978-967-12463-2-0 ULASAN Ramai yang tidak sedar bahawa bidang perniagaan dan hartanah adalah 'lubuk emas' yang telah menjana kekayaan ramai jutawan di seluruh dunia. Nama-nama seperti Donald Trumph, Thomas & Raymond Kwok and Family, Donald Bren, Abigail Johnson, Azizi Ali merupakan pelopor kepada perniagaan hartanah. Buku Buat Duit Dengan Hartanah merupakan sebuah karya perkongsian pengalaman yang ditulis oleh seorang pelabur hartanah anak tempatan yang telah berjaya menjana pendapatan yang lumayan dalam usia muda. Buku ini memberikan panduan yang lengkap untuk menjana pendapatan melalui bidang hartanah yang penuh inspirasi bagaimana seseorang boleh melakukan pelaburan hartanah dari pasaran lelongan dan menjana keuntungan berlipat ganda. Penulis menceritakan beliau bermula selepas menamatkan pelajarannya di peringkat ijazah dalam bidang hartanah pada tahun 2009 di Universiti Teknologi Petronas (UTP). Beliau mula berkecimpung dalam bidang hartanah dengan membeli sebuah rumah flat Sari Pustaka Bil 1/2015 6 kos rendah yang terletak di Masai, Pasir gudang Johor yang dilelong. Sungguhpun pembelian tersebut bukanlah satu pencapaian yang besar bagi penulis, namun ia merupakan titik permulaan untuk beliau aktif dalam bidang hartanah. Buku ini juga sarat dengan tip serta panduan langkah demi langkah membeli rumah lelong yang menguntungkan dan nasihat serta peranan mentor sebagai tulang belakang bagi membantu melihat potensi nilai pasaran sesebuah hartanah. Penulis turut berkongsi pengalaman beliau dalam mengatasi krisis kewangan yang melanda perniagaan keluarga pada tahun 2009. Beliau bernasib baik kerana dapat berkongsi masalah dengan seorang mentor di alam maya yang memberikan beliau kefahaman tentang aset dan liabiliti dalam perniagaan. Di dalam buku ini turut dikupas mengenai hartanah berbentuk sublet, hartanah lelong, hartanah subsale, hartanah dalam pembinaan dan flip sewa dan jual. Penerangan mengenai perkara-perkara tersebut diberi secara ringkas namun mudah difahami kerana disertakan contoh-contoh bagi memudahkan pembaca memahami istilah-istilah dalam bidang hartanah. Penulis lebih menjurus kepada hartanah berbentuk sublet kerana merupakan satu bentuk pelaburan hartanah yang mudah dan mempunyai kelebihan yang tidak diketahui ramai. Sublet merupakan salah satu cara mendapat keuntungan dengan hartanah namun tanpa membeli hartanah tersebut. Selain itu juga, penulis turut berkongsikan kaedah mendapatkan pinjaman yang kalis krisis ekonomi dan menyelesaikan pinjaman lebih awal dan ini merupakan ilmu yang sangat berharga. Tidak kurang pentingnya dalam buku ini penulis turut memberikan nasihat tentang pentingnya ilmu tentang pelaburan hartanah. Untuk menjadi pelabur yang berjaya, penulis menyarankan kepada kita agar mendalami ilmu tentang hartanah melalui seminar, bengkel, menyertai kelab hartanah dan membaca buku bagi memastikan pelaburan yang dilakukan itu memberi pulangan yang baik kepada kita. Pengulas: Effah Imtiaz Zainol Penolong Pengarah Pusat Manuskrip Melayu Perpustakaan Negara Malaysia Sari Pustaka Bil 1/2015 7 ULASAN BUKU Rohani Datuk Hj. Mohd. Shahir Cukupkah wang anda? Petaling Jaya : Galeri Ilmu, 2014. 253ms. ISBN 978-983-097-481-1 ULASAN Buku Cukupkah Wang Anda? Menyatakan istilah ‘cukup’ merupakan istilah relatif bagi seseorang individu dengan individu yang lain disebabkan persepsi yang berbeza terhadap wang. Oleh itu, istilah cukup adalah ditentukan oleh individu itu sendiri. Kita semua harus berbelanja mengikut kemampuan seperti pepatah Melayu ‘ukur baju di badan sendiri’. Masyarakat masa kini sering menghitung kekayaan seseorang dengan apa yang dimiliki dan dibelanjakan. Boros merupakan tabiat atau sifat mazmumah yang perlu dikikis daripada diri seseorang mukmin. Bertaubat dan memohon bantuan daripada Allah S.W.T. amat penting supaya tabiat buruk ini dapat dilenyapkan dalam kamus kehidupan seseorang. Jumlah gaji yang kecil atau besar tiada bezanya dalam pelaburan dan perancangan Sari Pustaka Bil 1/2015 8 persaraan. Walaupun bergaji kecil, jika individu itu pandai menyimpan secara konsisten, tabungannya pasti akan meningkat pada usia persaraan. Mengambil perlindungan diri atau polisi takaful merupakan pelan persaraan yang efektif yang manfaatnya boleh dinikmati oleh waris yang bakal ditinggalkan. Penulis turut mengetengahkan hasil kaji selidik yang telah dijalankan oleh Consumer Research dan Resource Center (CRCC) dengan kerjasama ERA Consumer dan dibiayai oleh Citi Foundation tentang tabiat kewangan pekerja golongan muda. Antara penemuannya ialah sebanyak 70 peratus daripada responden menabung secara konsisten dan 30 peratus pula menabung antara satu hingga 10 peratus daripada pendapatan mereka. Seterusnya penulis turut menyuarakan supaya masyarakat menyimpan secara istiqamah dan disarankan supaya simpanan dibuat pada awal bulan apabila menerima gaji. Tabung kecemasan adalah salah satu perkara penting untuk pengurusan kewangan peribadi. Tabung ini hanya digunakan untuk keperluan kecemasan seandainya terjadi musibah seperti banjir yang melanda rumah dan perlu dibaiki kerosakan. Selain perancangan kewangan untuk hidup di dunia ini, kita juga perlukan perancangan kewangan ukhrawi. Terdapat lima perkara yang dibincangkan mengenai perancangan ukhrawi iaitu infak, sedekah, lambaian Kaabah, awqaf dan mensucikan harta. Bagi golongan usahawan, buku ini juga membicarakan tentang perancangan persaraan khas buat usahawan yang mempunyai sedikit perbezaan dengan pegawai kerajaan dan pekerja swasta. Pada kebiasaanya kakitangan kerajaan boleh menarik nafas lega apabila membincangkan tentang perancangan persaraan kerana mereka mempunyai skim pencen. Pekerja swasta pula ada tabungan masa tua dalam Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP). Buku ini menyarankan agar golongan usahawan yang tidak membuat tabungan agar membuat pemilihan salah satu antara tiga instrumen kewangan yang kita semua harus ada iaitu polisi pelindungan diri, caruman bulanan kepada pelaburan saham amanah dan penulisan wasiat. Sari Pustaka Bil 1/2015 9 Di akhir penulisan buku ini, penulis memberikan terjemahan al-Quran supaya pembaca boleh mengambil iktibar daripadanya: Katakanlah (wahai Muhammad): “Wahai hamba-hamba-ku yang melampaui batas terhadap diri mereka sendiri (dengan perbuatan maksiat), janganlah kamu berputus asa daripada rahmat Allah, kerana sesungguhnya Allah mengampunkan segala dosa; sesungguhnya Dialah jua yang Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.” (Az-Zumar 39:53) Pengulas: Abdul Jalil Awang Penolong Pengarah Pusat Manuskrip Melayu Perpustakaan Negara Malaysia Sari Pustaka Bil 1/2015 10
Description: