BAB EMPAT ADAB AL-RIYADAH WA AL-ISTISLAH DALAM PEMBANGUNAN MODAL INSAN MENURUT AL-MAWARDI 4.0 PENDAHULUAN Bab ini memberi tumpuan kepada analisis berkaitan adab al-riyadah wa al-istislah dalam pembangunan modal insan menurut al-Mawardi. Enam fasal yang telah dihuraikan di dalam bab tiga yang terkandung di dalam adab al-riyadah wa al-istislah dilihat mempunyai hubungan dalam usaha pembangunan modal insan dari sudut rohani. Walau bagaimanapun, perbincangan berkaitan teori akhlak menurut al-Mawardi akan turut dikaitkan secara ringkas kerana ia mempunyai perkaitan dengan pembentukan akhlak melalui pembangunan rohani. 4.1 PEMBANGUNAN MODAL INSAN MELALUI PEMBANGUNAN KEROHANIAN MENURUT AL-MAWARDI Pembangunan unsur dalaman atau kerohanian insan merupakan tunggak terpenting di dalam pembangunan modal insan yang bertujuan melahirkan insan yang terpelihara hubungan dengan Penciptanya, hubungan sesama insan serta alam sekeliling. Pembangunan kerohanian ini merupakan medium utama dalam usaha pembentukan akhlak yang berkait rapat dengan usaha pembangunan modal insan yang memberi manfaat serta mempunyai perwatakan dan tingkah laku yang baik dan terpelihara. Al-Mawardi pada asasnya telah mengetengahkan teori berkenaan akhlak merujuk kepada proses dalaman yang berlaku di dalam jiwa manusia yang menyebabkan terhasilnya suatu perbuatan. Menurut pandangannya, akhlak manusia itu tidak semuanya baik dan tidak 143 semuanya buruk dan untuk menyempurnakan akhlak ini ianya perlu diisi dengan akhlak yang baik dan berusaha mengosongkannya daripada akhlak buruk.1 Berdasarkan penghuraian beliau berkaitan teori akhlak ini, al-Mawardi telah meletakkan suatu perbincangan berkaitan aspek akhlak atau adab berkenaan al-nafs yang dibahaskan di dalam Adab al-Dunya wa al-Din. Perbahasan ini merujuk kepada pembangunan kerohanian dalam membentuk insan yang berakhlak mulia dan terpuji melalui adab yang boleh dilatih menjadi suatu kebiasaan bagi setiap individu yang telah meningkat dewasa. Salah satu adab tersebut ialah adab al-riyadah wa al-istislah yang merujuk kepada suatu keadaan yang seiring dengan akal dan orang yang berakal tidak akan berselisih pendapat mengenai kebaikan dan keburukannya, malah ia turut mempunyai dalil dan alasan yang kuat kerana jiwa manusia juga secara fitrahnya dapat menerima adab-adab tersebut kerana Allah telah mengilhamkan petunjuk dan kebenaran kepadanya.2 Berkenaan dengan adab al-riyadah wa al-istislah ini, kebaikan dan keburukan akhlak yang dibincangkan adalah berkenaan akhlak mahmudah (fada’il) dan juga akhlak madhmumah (radha’il). Dalam hubungan pembangunan kerohanian dengan akhlak Islam, kedua-dua akhlak ini merupakan proses menjadikan seseorang itu berakhlak mulia dengan mengamalkan akhlak mahmudah dan meninggalkan akhlak madhmumah. Kedua-dua proses ini penting dalam usaha penyucian jiwa untuk membangunkan modal insan yang diredhai oleh Allah dan dikasihi oleh manusia. 1 Al-Mawardi (1981), Tashil al-Nazar wa Ta‘jil al-Zufr, Beirut: Dar al-Nahdah al-‘Arabiyyah, h. 6. 2 Al-Mawardi (1986), Kitab Adab al-Dunya wa al-Din, Beirut: Dar Maktabah al-Hayah, h. 233, 234. 144 4.1.1 Pembangunan Kerohanian Dan Hubungannya Dengan Pembentukan Akhlak Menurut Al-Mawardi Akhlak dalam Islam merupakan suatu yang sangat penting kerana ia memberi sumbangan yang teramat besar dalam pembangunan modal insan. Permulaan sesebuah masyarakat dan tamadun yang berjaya bermula daripada pembangunan modal insan yang cemerlang bukan sahaja dari sudut ilmu tetapi yang lebih penting ialah akhlak dan pekerti insan. Ini kerana, insan yang berakhlak dan berbudi pekerti yang mulia merupakan tunggak sesebuah masyarakat. Tokoh yang dibincangkan di dalam kajian ini iaitu al-Mawardi mempunyai sumbangan dalam khazanah ilmunya yang mana beliau turut membincangkan mengenai pendidikan akhlak. Walaupun terma pembangunan modal insan tidaklah disebut sebagai suatu istilah di dalam karya beliau, apa yang dibincangkan merupakan antara kriteria yang perlu ada dalam usaha pembangunan modal insan dari aspek kerohanian yang dijana melalui aspek pembentukan akhlak menurut perspektif Islam. Proses pembentukan akhlak menurut al-Mawardi adalah melalui proses pendidikan akhlak yang diterapkan melalui kaedah yang telah disarankan oleh beliau di dalam adab al-nafs. Al-Mawardi yang mengemukakan definisi akhlak telah menyatakan bahawa ia adalah suatu naluri tersembunyi dalam diri yang perlu dizahirkan dengan ikhtiar dan perlu digagahi dan dipaksa.3 Ia turut melibatkan aspek dalaman yang perlu diusahakan supaya natijahnya menjadi suatu perbuatan yang baik. Oleh itu, akhlak menurut pandangan beliau dapat disimpulkan sebagai suatu perbuatan baik hasil dari akhlak baik yang telah terdidik di 3 Al-Mawardi (1981), op.cit., h. 5. 145 dalam jiwa seseorang dan perbuatan tersebut tidak akan lahir tanpa usaha dan kehendak yang kuat untuk menghasilkannya. Dalam usaha pendidikan dan pembentukan akhlak, al-Mawardi terlebih dahulu membincangkan pembahagian akhlak yang terdiri daripada dua perbincangan utama iaitu akhlaq al-dhat dan af‘al al-iradah. Kedua-duanya ini saling berkaitan antara satu dengan yang lain kerana akhlaq al-dhat adalah suatu fitrah yang merupakan tempat lahirnya akhlak itu sendiri dan af‘al al-iradah pula yang melahirkan punca keinginan sesuatu fada‘il mahupun radha’il. Dalam hal ini, af‘al al-iradah mempunyai sebab pencetus iaitu al-‘aql dan al-ra’y yang mendorong pembentukan fada‘il, dan al-hawa yang mendorong pembentukan radha’il.4 Justeru perbincangan mengenai akhlaq al-dhat mahupun af’al al- iradah yang menghasilkan pembenntukan fada‘il mahupun radha‘il ini adalah melibatkan suatu proses yang terjadi di dalam diri setiap individu. Malah al-Mawardi juga berpandangan bahawa setiap manusia telah tersedia mempunyai akhlak yang tidak kesemuanya baik dan tidak pula kesemuanya buruk.5 Di sini, ia mempunyai perkaitan dengan pembahagian akhlak kepada gharizah dan muktasabah yang mana gharizah dirujuk oleh al-Mawardi kepada akhlak yang telah tersedia sebagai fitrah manusia, manakala muktasabah pula dilihat sebagai pembentukan sesuatu akhlak melalui jalan usaha iaitu merujuk kepada usaha membentuk akhlak yang baik di dalam diri melalui kebiasaan dan latihan.6 Dalam hal ini, al-Mawardi menekankan muktasabah merupakan proses yang penting dalam pembentukan akhlak. Ia dibuktikan melalui kenyataan beliau di dalam permulaan adab al-nafs bahawa jiwa manusia dibentuk 4 Ibid., h. 6-23. 5 Ibid., h. 6. 6 Ibid., h. 9-10. 146 atas dasar kebiasaan iaitu perilaku yang biasa dilakukan. Malah untuk meraih akhlak yang terpuji perlu kepada proses ta’dib dan tidak mencukupi dengan tahdhib semata-mata. Selain itu, proses ta’dib atau pendidikan tidak boleh diserahkan kepada akal semata-mata kerana kebanyakan adab diusahakan dengan jalan pengalaman atau diperbaiki dengan kebiasaaan serta latihan.7 Justeru itu, proses pendidikan akhlak pada pandangan beliau boleh dipecahkan kepada dua bahagian iaitu pertama, pendidikan ibu bapa kepada anak-anak sejak kecil; dan kedua, pelaziman seseorang ketika meningkat umur dewasa dan tua.8 Kedua-dua bahagian pendidikan ini melibatkan pendidikan “kebiasaan dan latihan” supaya ianya menjadi sesuatu yang mudah untuk dilaksanakan. Berdasarkan kepada kenyataan bahawa akhlak boleh diusahakan pembentukannya supaya menjadi lebih baik, al-Mawardi telah memberi penekanan kepada pendidikan akhlak kepada anak-anak oleh kedua ibu bapa sejak di awal usia lagi.9 Walaupun begitu, al-Mawardi tidak menerangkan secara khusus mengenai pendidikan akhlak yang sepatutnya diterapkan di dalam diri setiap anak-anak oleh kedua ibu bapa. Apa yang dapat difahami bersandarkan hujah yang dikemukakan oleh beliau ialah kepentingan mendidik akhlak yang mulia kepada anak-anak sejak kecil supaya ia menjadi sebati dan tidak mudah lupa dengan kebiasaan yang diajarkan kepada mereka apabila telah dewasa. Selain itu juga pendidikan anak-anak ini harus disegerakan sebelum mereka 7 Al-Mawardi (1986), op.cit, h. 231. 8 Ibid., h. 233. 9 Ibid. 147 meningkat dewasa kerana kesibukan dan perpisahan ketika anak-anak telah dewasa akan menjadi penghalang utama proses pendidikan ini dari terus berjalan.10 Berdasarkan penghujahan al-Mawardi bahawa kesukaran akan timbul sekiranya permulaan pendidikan akhlak ini tidak dibiasakan sejak kecil menunjukkan bahawa besarnya peranan ibu bapa untuk berusaha memberi pendidikan akhlak kepada anak-anak pada usia awal mereka. Apa yang ingin ditonjolkan dari sudut kepentingan mengawali pendidikan akhlak ini ialah anak-anak tersebut akan membesar dengan kebiasaan dan latihan konsisten berakhlak mulia sehingga tertanam kukuh dalam jiwa mereka, lalu membesar sebagai insan berakhlak mulia kerana ia merupakan kelangsungan pendidikan yang diterima. Walau bagaimanapun, pada pandangan al-Mawardi pembentukan akhlak dalam kalangan orang dewasa masih boleh diusahakan dan dilatih melalui dua jenis adab. Salah satunya ialah adab al-riyadah wa al-istislah yang menjadi topik perbahasan di dalam kajian ini yang dikaitkan dengan usaha pembangunan modal insan khususnya melalui pembangunan kerohanian. 4.2 PEMBANGUNAN MODAL INSAN MELALUI ADAB AL-RIYADAH WA AL- ISTISLAH MENURUT AL-MAWARDI 10Al-Mawardi telah mendatangkan sebuah Hadith bahawa Rasulullah s.a.w. telah bersabda mafhumnya: “Tiada perkara yang mulia yang diberikan oleh seorang bapa kepada anaknya melainkan adab yang baik”. Lihat al-Naysaburi, al-Imam al-Hafiz Abi ‘Abd Allah al-Hakim (1997), al-Mustadrak ‘ala al-Sahihayn, “Kitab al-Adab”, no. Hadith 7760, jil. 4, Kaherah: Dar al-Haramayn li Al-Tiba‘ah wa al-Nashr wa al-Tawzi`, h. 396. 148 Secara umumnya, sebagaimana tokoh-tokoh akhlak Islam lain yang telah meletakkan perbahasan berkaitan pembentukan akhlak melalui karya mereka, maka begitu jugalah dengan al-Mawardi yang telah membahaskannya dalam karyanya Adab al-Dunya wa al-Din. Perbincangan ini dikhususkan di dalam bab adab al-nafs yang telah dihurai melalui dua jenis adab yang boleh dilatih supaya sebati di dalam diri seseorang. Salah satu darinya dibentuk oleh suatu keadaan yang seiring dengan akal dan orang yang berakal tidak akan berselisih pendapat mengenai kebaikan dan keburukannya iaitu adab al-riyadah wa al-istislah. Hal ini kerana, kesemua jenis akhlak yang termasuk di dalam kategori ini mempunyai alasan dan dalil yang kuat, malah jiwa manusia juga dapat menerima kebaikan dan keburukannya.11 Pembangunan kerohanian ini melibatkan aspek jiwa manusia yang telah diilhamkan oleh Allah dengan jalan kefasikan dan ketaqwaan.12 Pembangunan kerohanian dalam pembentukan akhlak Islam adalah melalui suatu proses yang diistilahkan sebagai tazkiyah al-nafs iaitu proses penyucian jiwa. Ia merupakan suatu proses yang terpenting untuk membangunkan insan berakhlak mulia dan terpuji serta bersih dari akhlak keji. Proses tazkiyah al-nafs ini merangkumi penyingkiran akhlak madhmumah serta pengisiannya dengan akhlak mahmudah.13 Perkara yang dibawa oleh al-Mawardi dalam pelaziman akhlak melalui adab al-riyadah wa al-istislah secara keseluruhannya adalah melibatkan proses tazkiyah al-nafs. Oleh itu, dapat difahami bahawa proses tazkiyah al-nafs ini pada hemat beliau amat penting dalam usaha pembangunan modal insan yang berpotensi 11 Ibid., h. 234. 12 Jiwa manusia telah diilhamkan dengan jalan kefasikan dan ketaqwaan sebagaimana firman Allah Taala di dalam Surah al-Shams 91:8. 13 Zakaria Stapa (2012), Pendekatan Tasawuf dan Tarekat, Selangor: Penerbit Universiti Kebangsaan Malaysia, h. 57. 149 cemerlang dan berkeperibadian tinggi demi menjadi hamba dan khalifah Allah yang menjalankan amanah dan tanggungjawab di muka bumi. 4.2.1 Proses Penyingkiran Akhlak Madhmumah Dan Pengisian Akhlak Mahmudah Perkaitan kedua proses penyucian jiwa yang melibatkan penyingkiran akhlak madhmumah dan penggantian akhlak mahmudah melalui adab al-riyadah wa al-istislah oleh al-Mawardi adalah melalui beberapa akhlak yang perlu dijauhi serta disingkirkan disebabkan keburukan dan kesannya kepada individu yang mempraktisnya. Begitu juga akhlak yang perlu diterapkan serta digantikan di dalam diri hasil dari penyingkiran dan pengosongan tersebut. Bagi beliau, semangat dan usaha yang kuat untuk menghasilkan akhlak baik ini juga perlu sentiasa ada di dalam diri setiap individu.14 Usaha dan latihan yang berterusan ini tidak akan dapat dilaksana melainkan dengan pengetahuan berkenaan keburukan dan kebaikan di sebalik sesuatu akhlak tersebut. Selain itu, pengetahuan mengenai penyebab dan penawarnya juga adalah antara jalan yang dapat membantu penyingkiran akhlak madhmumah terutamanya supaya tidak terus bertapak di dalam jiwa manusia. Keenam-enam fasal perbincangan di dalam adab al-riyadah wa al- istislah ini dimulai oleh al-Mawardi dengan akhlak yang perlu dijauhi iaitu al-kibr dan al- i‘jab (sombong dan bangga diri), husn al-khuluq (akhlak yang baik), al-haya’ (malu), al- hilm wa al-ghadab (menahan marah dan marah), al-sidq wa al-kidhb (benar dan dusta) serta al-hasad wa al-munafasah (dengki dan persaingan yang sihat). 14 Al-Mawardi (1986), op.cit.,h.231. 150 a) al-Kibr wa al-I‘jab Al-kibr (sombong) dan al-i‘jab (bangga diri), kedua-duanya wujud di dalam diri kerana kedudukan dan kemuliaan yang dimiliki.15 Al-Mawardi membincangkan al-kibr dan al-i‘jab secara bersama sebagai sifat utama yang perlu dijauhi kerana kedua-duanya mempunyai perkaitan dengan kedudukan dan kemuliaan yang menjadi penyebab wujudnya dalam diri individu. Pada pandangannya, kemuliaan muncul apabila seseorang itu mempunyai kedudukan di sisi manusia dan jika ia mempunyai jiwa yang lemah, ia mudah untuk dikuasai sifat sombong dan bangga diri.16 Malah beliau meyakini kedudukan dan kekuasaan yang diperolehi golongan berakhlak madhmumah hanya akan menyebabkan akhlaknya yang sebenar muncul dan diketahui. Keadaan sebaliknya berlaku bagi mereka yang berakhlak mahmudah kerana mereka meyakini bahawa kedudukan dan kekuasaan yang diperolehi adalah suatu anugerah disebabkan kemuliaan mereka.17 Bagi golongan kedua ini, proses penyucian jiwa dapat membantu menghilangkan rasa dimuliakan, lantas menimbulkan rasa rendah diri dan hina terutama apabila berhubungan dengan Allah Taala.18 Al-Mawardi telah menyarankan beberapa kaedah yang boleh digunakan bagi menjauhi serta mengikis sifat ini dari terus bertapak di dalam jiwa dengan menghilangkan penyebab kewujudan kedua-duanya. Kemuliaan yang diperoleh daripada kedudukan atau kelebihan yang dimiliki seseorang individu menjadikan sifat bangga diri wujud akibat daripada pujian orang di sekeliling yang disebut al-Mawardi sebagai golongan pengampu 15 Ibid., h. 236. 16 Ibid.. 17 Ibid., h. 242. 18 Ibid.,h. 236. 151 yang terbiasa dengan sifat kemunafikan.19 Oleh kerana pujian yang diberikan ini menjadikan seseorang yang lemah jiwanya dan mengikuti tuntutan hawa nafsu, maka ia menganggap pujian tersebut sebagai suatu kebenaran yang perlu dipelihara dan dikekalkan di dalam dirinya. Justeru, perbuatannya bukan lagi didorong oleh keikhlasan, tetapi sebaliknya mengharapkan pujian masyarakat sekelilingnya. Justeru al-Mawardi menyarankan orang yang berakal supaya sentiasa berusaha mendapatkan nasihat dan teguran serta kritikan daripada golongan orang yang benar atau dikenali sebagai ikhwan al-sidq. Golongan ini terdiri dalam kalangan mereka yang bersih hatinya dan selalu menjaga kebajikan malah menghindari celaan.20 Teguran dan peringatan mereka boleh membantu orang yang bangga diri ini daripada terus mengikuti hawa nafsu yang mendorong kepada membenarkan pujian terhadap mereka malah dapat membersihkan jiwa daripada sifat ini. Setelah itu beliau memberi saranan agar menggantikannya dengan sifat kasih sayang.21 Sifat sombong yang berpunca dari kedudukan yang diperoleh serta pengaruh kuasa yang luas serta kurangnya pergaulan dengan golongan yang setaraf dengannya menyebabkan sifat ini wujud di dalam diri seseorang. Maka al-Mawardi menyarankan supaya golongan yang berkedudukan supaya mempunyai sifat tawaduk22 dan rendah hati dalam usaha menangani sifat sombong daripada terus menguasai diri. Saranan bersifat tawaduk dan kasih sayang ini dinyatakan oleh al-Mawardi sebagai penyelesaian yang boleh diwujudkan dengan mengambil pelajaran dari kisah-kisah terdahulu berkenaan orang yang sombong dan bangga diri serta balasan yang mereka dapati akibat dari kedua sifat ini. 19 Ibid.,h. 239. 20 Ibid.,h. 241. 21 Ibid. 22 Ibid. 152
Description: