ALIRAN AL-QADARIYYAH: PERKEMBANGAN, PENGARUH DAN KESANNYA DI ALAM MELAYU DAN KHUSUSNYA DI MALAYSIA Oleh: Prof. Madya Dr. Wan Zailan Kamaruddin bin Wan Ali Abstract Al-Qadariyyah is considered one of the earliest sects in the history of Islamic Thought. In the Umayyad period, they emerged but then harshly condemned and cursed by the muslims and slowly disappeared. This article as the title shown is an attempt to explain the emergence and developments of al- Qadarites and also to analyse the influences and impacts of their thoughts in the muslim world in general and Malaysia in particular. 1. Introduksi: Al-Qadariyyah merupakan salah sebuah aliran pemikiran yang terawal dalam sejarah perkembangan pemikiran Islam. Aliran al-Qadariyyah atau juga dikenali sebagai madhhab al- Ikhtiyariyyah1 yang dipelopori oleh Ma„bad al-Juhani dan Ghaylan al-Dimasyqi dikatakan menjadi lawan kepada aliran al-Jabariyyah atau al-Mujbirah yang dipelopori oleh Jahm bin Safwan. Al-Qadariyyah juga merupakan aliran falsafah dalam Islam yang pertama dan ia menjadi laqab kepada aliran yang kemudiannya dikenali sebagai al-Mu„tazilah.2 Dikatakan aliran ini pada asalnya daripada aliran al-Murji‟ah khususnya yang mengatakan al-irja’ dalam al-iman dan al-ikhtiyar dalam al-a‘mal. Mereka dikatakan mengasingkan diri daripada al-Murji’ah al-Khalisah kerana mereka tidak mengakui pendapat golongan tersebut dalam bidang politik (al-siyasah) semata-mata.3 Walaupun aliran ini telah lama pupus ditelan masa, namun pengaruh dan kesan pemikirannya masih kelihatan wujud dalam pemikiran minoriti umat Islam masa kini di dunia Islam mahupun di Alam Melayu. Kebanyakan pengkaji bersependapat bahawa kedua-dua aliran, al-Qadariyyah dan al-Jabariyyah yang saling bersaing ini muncul pada akhir zaman Bani Umaiyyah. Bagaimanapun, menurut „Abd al-Hamid al-Hifni, al-Qadariyyah telah muncul dalam Islam semenjak zaman Nabi (s.„a.w) lagi.4 Syam dikatakan salah satu pusat gerakan aliran al-Qadariyyah pada zaman Bani Umaiyyah.5 Ia berpunca daripada perselisihan mereka mengenai persoalan agama yang berhubungkait dengan pemikiran politik Islam iaitu isu kepimpinan (Imamah atau khilafah). 1 Al-Ghurabi, Tarikh al-Firaq al-Islamiyyah wa Nasy’ah ‘Ilm al-Kalam ‘Ind al-Muslimin, Misr, t.t, h.32. 2 Ibn al-Murtada, al-Munyah wa al-Amal, h.149; Zuhdi Hasan Jar Allah, al-Mu‘tazilah, al-Qahirah, 1366/1947, h.6. 3 Husayn „Utwan, al-Firaq al-Islamiyyah, Dar al-Jayl, 1986, h.26. 4 „Abd al-Hamid al-Hifni, Mawsu‘ah, h.315. 5 Husayn „Utwan, op.cit, h.27. 1 2. Nama al-Qadariyyah: Nama al-Qadariyyah berasal daripada perkataan al-Qadr. Perkataan ini merujuk kepada pengertian kuasa, kebebasan kehendak. Justeru itu, nama al-Qadariyyah diambil daripada perkataan tersebut, disebabkan pendirian dan pegangan mereka tentang persoalan sama ada manusia berkuasa atau tidak membuat pilihan iaitu untuk melakukan atau tidak melakukan sesuatu perbuatan. Allah (s.w.t) tidak berkuasa ke atas perbuatan manusia.6 Sumber pendapat tentang al-Qadr tidak dapat dipastikan. Namun begitu, pendapat- pendapat mengenai persoalan al-Qadr pada umumnya bolehlah dibahagikan kepada beberapa pendapat: Pertama: Tokoh pertama membincangkan persoalan al-Qadr ialah Ma„bad al-Juhani.7 Kedua: Tokoh pertama membicarakan persoalan al-Qadr ialah Ghaylan al-Dimasyqi.8 Ketiga: Persoalan Al-Qadr diambil daripada al-Hasan bin Muhammad al-Hanafiyyah.9 Keempat: Tokoh yang pertama berbicara mengenai al-Qadr adalah seorang lelaki daripada Ahl al-„Iraq beragama Nasrani yang memeluk Islam kemudian kembali kepada agama asalnya semula, dikenali Abu Yunus Sansawayh @ al-Aswari dari al-Asawirah.10 Abu Yunus Sansawayh disebutkan menjadi sumber dan punca pendapat itu diambil oleh Ma„bad, dan pendapat itu bukanlah berasal daripada Ghaylan. Ghaylan merupakan tokoh yang berdebat dan mempertahankan pendapat itu dan kemudian menyebarkannya di kalangan kaum muslimin dan beliau dikatakan mati kerana persoalan tersebut.11 Di kalangan orientalis seperti Morris S. Seale, C. Brockelmann, O‟Leary, Phillip Hitti dan Asad Rustam, berpendapat persoalan al-Qadr bersumber daripada pemikiran Nasrani dan falsafah Yunani. Mereka mengatakan al-Qadariyyah mengambil pendapat dan pemikiran tersebut daripada kitab-kitab Yuhanna al-Dimasyqi @ John of Damascus dalam persoalan ketuhanan (al-Lahutiyyah), falsafah dan daripada kitabnya yang termasyhur iaitu Yanbu‘ al- Hikmah.12 Yuhanna al-Dimasyqi merupakan cucu Sergius al-Rumi dikenali di kalangan sejarawan Arab sebagai Sarjun bin Mansur al-Rumi, yang juga merupakan salah seorang mawla Mu„awiyah bin Abi Sufyan, menguruskan Diwan al-Kharaj untuk Mu„awiyah, Yazid dan Mu„awiyah bin Yazid II juga. Marwan bin al-Hakam dan „Abd al-Malik. Pada zaman „Abd al-Malik, dia meninggal dunia. Salah seorang anak Sergius telah memperolehi anak bernama Yuhanna, yang menjadi murid kepada seorang hamba, dikenali Cosmos. Yuhanna seterusnya popular sebagai Yuhanna al-Dimasyqi (m.743M), bekerja sebagai penasihat Hisyam bin „Abd al-Malik selama 2 tahun. 6 Al-Jurjani, Kitab al-Ta‘rifat, h.174. Lihat juga: „Abd al-Mun„im al-Hifni, Mawsu‘ah, al-Qahirah, 1413/1993, h.315-318. (Menurut Dr. Hasan Mahmud al-Syafi„i, aliran ini dinamakan al-Qadariyyah @ al-Qadariyyah al- Awa’il. Lihat: al-Madkhal ila Dirasat ‘Ilm al-Kalam, h.64.) 7 Al-Maqrizi, Khitat @ al-Mawa‘iz wa al-I ‘tibar, II, h.329; Zuhdi Hasan Jar Allah, al-Mu‘tazilah, h.26. 8 Ibn Qutaybah, al-Ma‘arif, h.166; „Irfan, Dirasat, h.129. 9 Ibn al-Murtada, al-Munyah wa al-Amal, h.24. (Al-Hasan bin Muhammad al-Hanafiyyah merupakan saudara kepada Abu Hasyim „Abdullah bin Muhammad, dan pernah menjadi guru kepada Ghaylan (ustadh) dan bertendensi ke arah doktrin al-irja’. Ibn al-Murtada menggolongkannya dalam golongan al-Mu„tazilah Peringkat ke-III (al-Tabaqah al-Thalithah)) 10 Al-Maqrizi, Khitat, II, h.329 11 Al-Ghurabi, Tarikh, h.36. 12 Husayn „Utwan, al-Firaq al-Islamiyyah, h.27. 2 Kitab-kitab Yuhanna al-Dimasyqi ajaran Nasrani, menurut Morris S. Seale merupakan sumber kepada pemikiran Ghaylan al-Dimasyqi tentang konsep fitrah, penafian sifat, khalq al-Qur’an, kebebasan kehendak manusia manakala O‟Leary pula mengatakan ia bersumberkan daripada Yunani. Ahmad Amin13 lebih bersetuju dengan kenyataan bahawa pendapat al-Qadariyyah mengenai kebebasan manusia (hurriyyah al-iradah al-insaniyyah) daripada buah fikiran dalam kehidupan beragama dan politik Islam khususnya al-Qur‟an dan al-Hadith itu sendiri dan ia bermula sebelum penaklukan Syam dan „Iraq. Fikrah al-Qada’ dan al-Qadr lebih awal wujud di kalangan umat muslim dan ia berlaku dalam setiap agama sama ada Yahudi, Nasrani dan Majusi. Begitu juga, Zuhdi Hasan Jar Allah turut mengkritik pendapat yang mengatakan al-Qadariyyah mengikuti pemikiran golongan Nasrani (al-Masihiyyin) kerana ia dilakukan oleh musuh-musuhnya bertujuan untuk mendorong umat Islam menentang golongan tersebut. 4. Perkataan al-Qadariyyah dari perspektif Islam: Perkataan al-Qadariyyah tidak ditemui dalam al-Qur‟an, sebaliknya yang ada hanyalah perkataan al-Qadr sahaja. Bagaimanapun ia berbeza sama sekali dengan al-hadith kerana perkataan tersebut dapat dilihat menerusi hadith-hadith yang agak banyak dan dikatakan pula bersumber daripada Nabi (s.„a.w). Di antaranya: Pertama: “ Al-Qadariyyah terdiri daripada golongan yang mengatakan bahawa baik dan buruk di tangan kita, tiada bahagian bagi mereka dalam syafaatku, aku bukanlah daripada mereka dan mereka pula bukanlah daripadaku.”14 Kedua: “ Al-Qadariyyah merupakan kaum Majusi umat ini (majus hadhi-hi ummah).”15 Ketiga: “ Al-Qadariyyah dicela dan sesungguhnya mereka kaum Majusi umat ini.”16 Keempat: “ Dicela al-Murji‟ah bersama-sama al-Qadariyyah.”17 Kelima: “ Al-Qadariyyah dilaknat di atas lidah 70 orang nabi.” Keenam: “ Jangan kamu duduk bersama-sama Ahl al-Qadr dan jangan berbicara dengan mereka.” Ketujuh: “ Dua kelompok daripada umatku, tiadalah bahagian bagi mereka daripada Islam, iaitu al-Murji‟ah dan al-Qadariyyah.”18 13 Ahmad Amin, Duha al-Islam, I, h.345; Husayn, ibid, h.29. 14 Al-Muhammadi, Mizan al-Hikmah, 15 Al-Maturidi, Kitab al-Tawhid, h.89, 244. (Hadith ini tidak diterima oleh Ahl al-Hadith, bahkan Ibn al-Jawzi sendiri menghukumkan hadith ini sebagai palsu. Bagaimanapun, kebanyakan ulama kalam dan lain-lain, biasa menyebutkan hadith ini dalam tulisan dan karya mereka. Hadith ini boleh dianggapkan sebagai hadith popular untuk menentang al-Qadariyyah.) 16 Al-Baghdadi, al-Farq bain al-Firaq, Mu‟assasah al-Halabi, al-Qahirah, t.t, h.11. 17 Al-Baghdadi, al-Farq, h.11; al-Maturidi, op.cit, h.229. 18 Al-Maturidi, Kitab al-Tawhid, h.318; al-Majlisi, Bihar al-Anwar, V, h.7. 3 Kelapan:“ Dua kelompok daripada umatku yang tiada mempunyai bahagian dalam Islam: al-Murji‟ah dan al-Qadariyyah....ditanya siapakah al-Qadariyyah: Rasulullah (s.„a.w) menjelaskan bahawa mereka terdiri daripada orang-orang yang mengatakan keburukan itu tidak ditaqdirkan (lam yuqaddir al-syarr).” Kebanyakan sumber hadith yang menyebutkan atau membicarakan persoalan al- Qadariyyah kelihatan lebih banyak mencela al-Qadariyyah.19 Kenyataan ini mungkin menyebabkan nama al-Qadariyyah tidak begitu digemari dan akhirnya menjadi penyebab kepupusan mereka kemudiannya. Aliran al-Mu„tazilah yang seringkali dikaitkan dengan nama al-Qadariyyah sendiri tidak menggemarinya dan mereka pada umumnya beranggapan bahawa ia lebih baik dirujuk kepada orang-orang yang mempertahankan qadr Allah ke atas semua perkara, baik dan buruk, berbanding dengan orang-orang yang berpendapat manusia mempunyai kuasa tertentu (qudrah) ke atas perbuatannya. Menurut pandangan golongan ortodoks, ia disebabkan keinginan mereka untuk melepaskan diri daripada kata-kata atau hadith Rasulullah (s.„a.w) tersebut.20 5. Pembahagian al-Qadariyyah: Kebanyakan pengkaji dan pemikir Islam yang melakukan kajian mengenai aliran al- Qadariyyah berpendapat bahawa ia boleh dibahagikan kepada dua kumpulan: Pertama: Al-Qadariyyah al-Khalisah merujuk kepada kumpulan yang diketuai Ma„bad bin Khalid al-Juhani al-Basri (m.80H) dan Ghaylan bin Marwan al-Dimasyqi (m.105H).21 Kedua: Al-Qadariyyah al-Mutawassitah22 merujuk kepada al-Hasan al-Basri,23 Qatadah bin Di„amah dan kumpulannya yang terdiri daripada para zuhhad dan qussas. 6. Tokoh-tokoh al-Qadariyyah: Berikut adalah senarai tokoh-tokoh yang dikatakan beraliran al-Qadariyyah, dan nama-nama mereka boleh didapati dalam kebanyakan tulisan oleh para pemikir Islam, di antara mereka ialah: 1. Al-Hasan al-Basri, al-Hasan bin Abi al-Hasan (m.87H) 2. Ma„bad bin Khalid al-Juhani al-Basri (m.80H) 3. Ghaylan bin Marwan al-Dimasyqi (m.105H). 4. Yunus al-Aswari. 5. Ja„d bin Dirham. 6. Mu„awiyah (II) bin Yazid bin Abi Sufyan.24 7. Abu Yasar „Abdullah bin Abu Najih al-Thaqafi (m.131/748) [Makkah]. 19 Al-Karajaki, Kanz al-Karajaki, I, h.118, 140; al-Majlisi, Bihar al-Anwar, V, h.6 (bab 1); Lihat: al-Syarif al- Radi, Nahj al-Balaghah, Hikam no.78. 20 Macdonald, D.B, “ Qadariyyah ” dlm. EI (1), Leiden, 1927, II, h.606. 21 „Irfan „Abd al-Hamid, Dr., Dirasat fi al-Firaq wa al-‘Aqa’id al-Islamiyyah, h.87. 22 Al-Syahrastani, al-Milal wa al-Nihal, I, h.147. 23 Ibn al-Murtada, al-Munyah wa al-Amal, h.26.) 24 Husayn „Utwan, al-Firaq al-Islamiyyah, h.41; al-Waqidi, al-Bad’ wa al-Tarikh, VI, h.17. 4 8. Wahb bin al-Munabbih (34/655 - 114/732) [Yaman]. 9. Makhul bin Abu Muslim (m. sekitar 113/731) [Damsyiq]. 10. „Ata‟ bin Yasar al-Hilali (m.103/722 atau 104/723) [Basrah]. Selain daripada nama-nama di atas, berdasarkan catatan oleh Dr. Husayn „Utwan, para ketua al-Qadariyyah dari kalangan qabilah (seperti al-Raba„iyyah dan al- Yamaniyyah) yang kelihatan kuat menentang Bani Umaiyyah, terdiri daripada nama- nama berikut: 1. Khalid bin Ma„dan Abi Kurayb al-Kala„i. 2. Bilal bin Sa„d al-Sukuni al-Dimasyqi. 3. „Umair bin Hani‟ al-„Anasiyy al-Dimasyqi. 4. „Amru bin Syarahbil al-„Anasi al-Dimasyqi. 5. Al-Nu‟man bin Mundhir al-Ghassani al-Dimasyqi. 6. „Uthman bin Dawud al-Khulani al-Dimasyqi. 7. „Ubaydullah bin „Ubayd al-Kala„i al-Dimasyqi. 8. Yazid bin Yazid bin Jabir al-Azdi al-Dimasyqi. 9. Thawr bin Yazid al-Kala „i al-Himsi. 10. Hisyam bin al-Ghaz al-Jursyi.25 11. Asbat bin Wasil al-Syaibani. 12. „Isa bin Sinan al-Hanafi al-Filastini. 13. „Abd al-„Ala‟ bin Zabr al-Raba„i al-Dimasyqi.26 7. Pemikiran Aliran al-Qadariyyah: Di sini dikemukakan secara ringkas beberapa pemikiran aliran al-Qadariyyah: 1. Ketuhanan (al-Tawhid): Dalam persoalan dhat Allah, mereka berpendapat Allah adalah sesuatu tetapi bukanlah seperti setiap sesuatu. Mereka berpegang kepada pendapat yang mengatakan dhat dan sifat Allah adalah satu dan sama. Perbezaannya adalah kerana mereka menafikan sifat Allah yang dilakukan bertujuan untuk menunjukkan Allah tidak mempunyai dhat dan sifat yang berbeza dan berlainan seperti yang lazim difahami oleh kaum muslimin yang beraliran konservatif, terutama aliran al-Asya„irah. Dalam persoalan sifat Allah pula, mereka secara jelas menafikan sifat positif (al- thubutiyyah) seperti al-‘ilm, al-qudrah dan al-iradah kepada Allah (s.w.t). Sifat-sifat itu menurut mereka adalah dhat itu sendiri (‘ayn al-dhat) dan bukan selainnya. Allah tidak mempunyai ‘ilm, qudrat, hayat, sama‘, basar dan tidak mempunyai sifat yang azali. Mereka juga menetapkan sifat Allah tanpa berjisim (ghayr tajsim) dan tanpa penyerupaan (tasybih) dengan sifat hamba (al-‘ibad).27 Ini kerana mereka berpendapat dengan beranggapan demikian akan menyebabkan wujudnya berbilang dhat Allah, dan ia suatu kenyataan yang mustahil diterima sama sekali. Justeru kerana itulah, mereka dianggap oleh al-Asy„ari dan aliran al-Asya„irah secara khusus dan Ahl al-Sunnah wa al-Jama„ah secara umumnya sebagai al-Mu‘attilah (golongan yang menafikan sifat Allah).28 25 Husayn „Utwan, ibid, h.44-45. 26 „Abd al-Jabbar, Fadl al-I‘tizal, h.103. 27 Husayn „Utwan, al-Firaq al-Islamiyyah, h.49. 28 Al-Ghurabi, Tarikh, h.34. Lihat sama: Al-Bazdawi, Usul al-Din, h.250. 5 Dalam persoalan al-Qur‟an sebagai Kalam Allah, mereka berpendapat Kalam Allah adalah baru. Pendapat mereka dikatakan sama dengan pendapat Jahm bin Safwan (daripada aliran al-Jabariyyah al-Khalisah)29 yang mengatakan al-Qur‟an makhluq dan bukan qadim.30 Dalam persoalan melihat Allah, mereka menafikan Allah dapat dilihat dengan mata di kedua-dua tempat, dunia dan akhirat.31 Dr.Husayn „Utwan mengatakan pendapat al-Qadariyyah dalam persoalan janji dan ancaman yang berkaitan keadilan Allah (al-‘Adl al-Ilahi), adalah selari (muwafaqah) dengan pendapat Ahl al-Sunnah kerana mereka mengatakan ancaman (al-wa‘id) dan janji (al-wa‘d) boleh berbeza di antara satu dengan yang lain.32 2. Hari Kiamat (al-Ma‘ad): Dalam keterangan selanjutnya, menurut Dr.Husayn „Utwan, pendapat al-Qadariyyah dalam persoalan para pelaku dosa adalah selari (muwafaqah) dengan pendapat Ahl al-Sunnah kerana mereka mengatakan para pelaku dosa di kalangan orang- orang mu‟min tidak akan kekal di dalam neraka.33 3. Persoalan Iman: Dalam persoalan ini, Ghaylan dikatakan mempunyai pendapat yang hampir sama dengan golongan al-Murji‟ah yang menekankan al-ma‘rifah wa al-iqrar bi-Llah Ta‘ala wa bi-rasulih (mengetahui dan mengakui Allah dan Rasul-nya dianggap memenuhi iman). Al-‘amal (perbuatan) tidak dimasukkan dalam bahagian Iman. Justeru itu, mereka juga dikenali al-Qadariyyah al-Murji’ah.34 Walaupun pada kebiasaannya, al-iman terdiri daripada tiga (3) komponen, iaitu “ ma‘rifah bi’l-qalb wa iqrar bi’l-lisan wa ‘amal bi’l-jawarih (mengetahui dengan hati, mengakui dengan lidah dan mengamal dengan anggota.) 4. Persoalan al-Imamah: Menurut pendapat Ghaylan, al-Imamah diakui walaupun bukan daripada kaum Quraisy. Seseorang yang berpegang teguh dengan al-Qur‟an dan al-Sunnah dianggap sah menjadi Imam al-muslimin, tetapi dengan syarat bahawa umat Islam hendaklah bersepakat terhadap Imamahnya.35 Secara perbandingan, pendapatnya selari dengan pendapat al-Khawarij dan kerana itu dia dikenali sebagai Ghaylan al-Khariji kerana persamaan pendapatnya dengan al-Khawarij dalam isu al-Imamah ini. Pada masa yang sama juga, aliran ini turut dikenali al-Qadariyyah al-Khawarij.36 5. Af‘al al-‘Ibad (perbuatan manusia): Dalam persoalan perbuatan manusia, mereka mengatakan kehendak Allah tidak mempunyai pengaruh yang menentukan kepada perbuatan manusia.37 Manusia ditentukan sepenuhnya oleh akal mereka dalam penentuan perbuatan mereka. Allah bukanlah pencipta kepada setiap usaha manusia. Manusia sendiri berkuasa di atas setiap usaha mereka dan Allah tidak berkuasa di atas usaha manusia dan juga 29 Lihat: Wan Zailan Kamaruddin b.Wan Ali, “ Aliran al-Mujbirah dan kesan Pemikirannya di Malaysia,” dlm. Jurnal Usuluddin, Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya, Bil.12, Syawal 1421/Disember 2001, h.59-72. 30 Al-Ghurabi, Tarikh, h.33; al-Bazdawi, Usul al-Din, h.250. 31 Al-Bazdawi, ibid, h.250. 32 Husayn „Utwan, op.cit, h.49. 33 Ibid, h.49. 34 Ibid, h.50. 35 Al-Ghurabi, Tarikh, h.34. 36 Husayn „Utwan, op.cit, h.51. 37 Al-Asy„ari, Maqalat, h.513; Watt, W.M., Freewill and Predestination, h.41; al-Ghurabi, Tarikh, h.33. (Ibn al-Murtada menyenaraikannya dalam aliran al-Mu„tazilah peringkat ke-IV (al-tabaqah al-rabi‘ah). Lihat: Tabaqat al-Mu‘tazilah, h.25.) 6 perbuatan seluruh binatang (hayawan). Justeru, mereka dikenali al-Qadariyyah38 atau al- Qadariyyah al-Mu‘tazilah. 6. Al-Istita‘ah (Kemampuan): Dalam persoalan al-istita‘ah (kemampuan), mereka berpendapat al-istita‘ah ma‘a al-fi‘l yang merujuk kepada kemampuan manusia adalah serentak dengan perbuatan.39 Ia bererti sesuatu perbuatan itu mampu dilakukannya hanya pada masa dia melakukannya, dan bukan sebelum sesuatu perbuatan itu dilakukan. 8. Perkembangan Peringkat Awal Aliran al-Qadariyyah: Menurut J. Van Ess, istilah al-Qadariyyah kelihatan muncul di „Iraq. Bagaimanapun Dr. Husayn „Utwan mengatakan aliran al-Qadariyyah dikatakan muncul di Syam pada akhir zaman pemerintahan Bani Umaiyyah yang berketurunan Sufyan bin Harb (al-Sufyaniyyin), seterusnya berkembang ke zaman al-Marwaniyyin. Keterangan J. Van Ess menunjukkan bahawa aliran al-Qadariyyah merujuk kepada sekumpulan tokoh ilmu kalam (mutakallimin) yang mewakili golongan yang mempertahankan prinsip “ liberum arbitrium ” atau “ kebebasan kehendak ” pada peringkat awal perkembangan Islam, kira-kira dari tahun 70/690 sehingga penyatupaduan al- Mu„tazilah pada permulaan abad ke-3/9.40 Dokumen terawal mengenai gerakan tersebut adalah Risalah Fi al-Qadr oleh al-Hasan al-Basri,41 yang mungkin disusun di antara tahun 75/694, semasa kedatangan al-Hajjaj ke „Iraq dan tahun 80/699, permulaan revolusi Ibn al- Asy„ath.42 Para sahabat yang mutakhir tidak menyukai aliran al-Qadariyyah. Kebanyakan di antara mereka seperti „Abdullah bin „Umar, Jabir bin „Abdullah, Abu Hurairah, Ibn al- „Abbas, Anas bin Malik, „Abdullah bin Abi Awfi, „Uqbah bin „Amir al-Juhani menyisihkan diri mereka daripada al-Qadariyyah. Selain dari itu, mereka dikatakan turut berpesan kepada generasi selepas itu agar menolak al-Qadariyyah dan tidak menyembahyangkan jenazah mereka serta tidak melawat mereka pada masa mereka sakit. Tokoh al-Qadariyyah pertama yang dikatakan memainkan peranan utama menggerakkan aliran ini ialah Ma„bad al-Juhani, salah seorang sahabat al-Hasan al-Basri, dan dia juga dikatakan tokoh pertama yang membicarakan persoalan al-Qadr.43 Pada zaman khalifah Bani Umaiyyah, „Abd al-Malik bin Marwan, dia mati disalib.44 Pendapat yang lain pula mengatakan disebabkan pemberontakannya bersama-sama dengan al-Asy„ath, al-Hajjaj (gabenor Bani Umaiyyah) telah menyeksa dan membunuhnya pada tahun 80H.45 38 Al-Baghdadi, al-Farq bayn al-Firaq, al-Qahirah, t.t, h.68; al-Maturidi, Kitab al-Tawhid, h.277. 39 Al-Bazdawi, Usul al-Din, h.250. (Menurut al-Bazdawi, ia merupakan pendapat kumpulan al-Husayniyyah al- Qadariyyah). 40 J.Van Ess, EI (2), IV, h.368. 41 Al-Hasan al-Basri (m.87H) dimasukkan dalam al-Qadariyyah al-Mutawassitah disebabkan pendapatnya tentang persoalan al-Qadr yang menyamai al-Qadariyyah seperti dapat dilihat dalam tulisannya, “ Risalah fi al- Qadr,” yang merupakan jawapan kepada surat daripada „Abd al-Malik bin Marwan (yang berfahaman al- Jabariyyah) yang dikatakan tidak bersetuju dengan pendapatnya tentang persoalan tersebut. (Lihat: Al-Hasan al- Basri, “ Risalah fi al-Qadr ” dlm. Rasa’il al-‘Adl wa al-Tawhid, (ed. Muhammad „Imarah), Dar al-Hilal, h.81- 94. 42 J.Van Ess, op.cit, h.369. 43 Al-Hifni, Mawsu‘ah, h.315. 44 J.Van Ess, op.cit, h.370. 45 Al-Baghdadi, al-Farq, h.17. 7 Selanjutnya pada zaman Khalifah „Umar bin „Abd al-„Aziz, aliran ini telah dipelopori oleh Ghaylan al-Dimasyqi atau Ghaylan bin Marwan (m.105H) yang dikatakan tokoh kedua berbicara mengenai al-Qadr selepas Ma„bad al-Juhani.46 Berhubung dengan bapanya, Marwan,47 dikatakan dia pernah menjadi mawla Khalifah „Uthman bin „Affan. Bagaimanapun menurut Ibn al-Murtada pula, Marwan bukanlah mawla ‘Uthman, sebaliknya Ghaylan sendiri sebenarnya mawla „Uthman. Dalam beberapa keterangan dikatakan Ghaylan sebagai “ seorang yang terkenal dalam bidang ilmu (al-‘ilm), zuhud (al-zuhd), al-du‘a’ dan juga dalam bidang tawhid dan keadilan Allah pada zamannya.” Ghaylan berbangsa Qibti Mesir yang memeluk Islam dan menetap di Syam dan seterusnya menjadi ketua aliran al-Qadariyyah di kota tersebut. Dikatakan bahawa dia mengambil pendapat tentang al-Qadr daripada Ma„bad al-Juhani al-Basri semasa lawatannya ke kota Dimasyq. Pada zaman „Abd al-Malik bin Marwan, Ghaylan pernah dilantik oleh khalifah sebagai guru (mu’addib) kepada anaknya, Sa‟id.48 Beliau mempunyai ramai sahabat yang dikenali sebagai al-Ghaylaniyyah di kawasan sekitar Syam.49 Khalifah „Umar bin „Abd al-„Aziz (yang kelihatan bersependapat dengan Mu„awiyah bin Abi Sufyan dalam masalah al-Qadr), pernah berdebat dengan Ghaylan dan melarangnya berbicara tentang al-Qadr, serta memintanya bertaubat kerana pegangannya kepada pendapat tersebut. Namun, selepas kematian „Umar II, dia kembali kepada pendapatnya.50 Pada zaman Hisyam bin „Abd al-Malik, Ghaylan merupakan tokoh pertama yang mula-mula mengembangkan program politik. Pada prinsipnya, propaganda Ghaylan tidak mempunyai hubungan dengan pengajaran dan pemikiran al-Qadariyyah, yang pada masa yang sama, juga dipimpin oleh Harith bin Surayj, seorang tokoh aliran al-Jabariyyah di Ma Wara al-Nahr (Transoxiana). Ghaylan akhirnya dihukum bunuh oleh Hisyam bin „Abd al-Malik di Damsyik bersama-sama dengan seorang pengikut setianya, Abu „Abd al-Salam Salih bin Suwayd al-Dimasyqi.51 Menurut keterangan Ibn al-Murtada, dia dibunuh disebabkan persoalan politik dan bukannya persoalan agama terutama kerana celaannya terhadap Bani Umaiyyah.52 Sekiranya kenyataan ini boleh diterima, ini bererti persoalan al-Qadr bukanlah penyebab kematiannya tetapi kerana para pemerintah Bani Umaiyyah tidak bersetuju dan tidak menyukai pendapatnya tentang al-Qadr yang seandainya diterima, akan mendatangkan bahaya kepada kerajaan Bani Umaiyyah itu sendiri. Bagaimanapun, para tokoh sejarawan berpendapat dia dibunuh kerana persoalan al- Qadr, berdasarkan suatu keterangan bahawa al-Awza„i pernah diutuskan oleh Hisyam bin „Abd al-Malik untuk berhujah dengannya. Tiga (3) soalan dikemukakan tanpa dapat dijawab 46 Al-Ghurabi, Tarikh, h.21. 47 Al-Ghurabi, ibid, h.33. Lihat khilaf mengenai bapanya dalam Tabaqat al-Mu‘tazilah, h.25. 48 Ibn al-Athir, al-‘Iqd al-Farid, II, h.378. Lihat sama: Husayn „Utwan, al-Firaq al-Islamiyyah, h.34-35. 49 Ibn Qutaybah, al-Ma‘arif, h.484; al-Tarikh al-Kabir, IV, h.102. (Al-Ghaylaniyyah terdiri daripada para sahabat (Ghaylan bin Marwan) dan mereka merupakan golongan Murji‟ah di Syam. Lihat: al-Asy„ari al-Qummi, Kitab al-Maqalat, h.6, 132.) 50 Al-Ghurabi, op.cit, h.40. 51 Husayn „Utwan, op.cit, h.41. 52 Ibn al-Murtada, al-Munyah wa al-Amal, h.15. 8 oleh Ghaylan sehingga akhirnya menyebabkan dia dijatuhi hukum bunuh oleh Hisyam, atau dalam pendapat yang lain dikatakan disalib hidup-hidup di pintu kota Dimasyq.53 Seterusnya, pada zaman Khalifah al-Walid bin Yazid bin „Abd al-Malik, aliran al- Qadariyyah dikuasai menerusi kepimpinan Yazid bin al-Walid bin „Abd al-Malik, yang merupakan salah seorang ketua yang terkuat dan terkenal di kalangan mereka, yang telah menggerakkan aliran ini untuk menjatuhkan dan melucutkan kedudukan anak bapa saudaranya, al-Walid bin Yazid.54 Bagaimanapun, aliran al-Qadariyyah dikatakan mulai lemah selepas kematian Yazid bin al-Walid bin „Abd al-Malik. Kekuatan, pengaruh dan aktiviti mereka semakin berkurangan dan merosot. Marwan bin Muhammad merupakan tokoh dan pemerintah yang sangat membenci aliran ini dan beranggapan bahawa mereka merupakan punca dan penyebab kematian al- Walid bin Yazid. Justeru, dia telah mengambil tindakan dengan mengenakan tekanan, penindasan dan kekejaman terhadap mereka. Menurut penjelasan Dr. Husayn „Utwan, Bani Umaiyyah mengambil sikap membenci aliran al-Qadariyyah dan mengambil tindakan sewajarnya untuk menekan dan menindas mereka disebabkan beberapa faktor, di antaranya adalah: Pertama: Persoalan perbuatan manusia (af‘al al-insan) yang didokongi Bani Umaiyyah yang kuat menyokong aliran al-Jabariyyah, berlawanan dengan al-Qadariyyah. Persoalan ini merupakan punca dan penyebab terbesar dan terpenting menyebabkan Bani Umaiyyah bersikap kejam dan keras terhadap al-Qadariyyah. Ini kerana pendapat al- Qadariyyah dalam persoalan ini akan mendedahkan dan menelanjangkan kekejaman dan penindasan Bani Umaiyyah terhadap umat Islam seluruhnya pada zaman kekuasaan mereka. Perkara yang lebih penting lagi, pendapat tersebut akan menyebabkan Bani Umaiyyah dilihat telah melakukan banyak pindaan, perubahan dan bid‘ah dalam Islam yang dilarang oleh Allah (s.w.t) dan Rasul-Nya (s.„a.w).55 Kajian dan penyelidikan yang mendalam tentang Kerajaan Bani Umaiyyah pada zaman kekuasaan mereka ke atas dunia Islam menunjukkan bahawa mereka menyokong dan memihak kepada pendapat al-Jabariyyah dan bahkan mendokong dan mempropagandakan pendapat mereka tentang persoalan perbuatan manusia. Ini kerana pendapat yang meletakkan segala-gala perbuatan manusia telah ditentukan atau ditaqdirkan oleh Allah (s.w.t) dapat menyelamatkan mereka daripada tuduhan dan kecaman masyarakat dan dunia Islam terhadap kezaliman mereka itu.56 Pada umumnya aliran al-Qadariyyah dan pemikirannya yang mewakili golongan minoriti, tidak diterima dan diakui oleh umat Islam kerana fahamannya yang berbeza dengan pemikiran majoriti umat Islam pada zaman itu. Musuh al-Qadariyyah yang paling kuat dan keras adalah para pemerintah atau khalifah Bani Umaiyyah sendiri secara khusus. Menurut Dr. Husayn „Utwan, al-Qadariyyah merupakan salah satu kelompok atau golongan yang 53 Al-Ghurabi, Tarikh, h.39. 54 Al-Sam„ani, al-Ansab al-Asyraf, II, h.329; Husayn „Utwan, al-Firaq al-Islamiyyah, h.42. 55 Husayn „Utwan, ibid, h.49. 56 Lihat: Wan Z. Kamaruddin bin Wan Ali, “ Aliran al-Mujbirah dan kesan pemikirannya di Malaysia,” dalam Jurnal Usuluddin, Bil. 12, 1421/2000, h.59-72. 9 menentang Bani Umaiyyah kerana mereka membuat seruan ke arah kebaikan secara menyeluruh (al-Islah al-syamil).57 Menurut keterangan „Abd al-Jabbar, kebanyakan sahabat berpegang teguh kepada konsep keadilan Allah, yang menafikan sebarang bentuk keburukan dan kezaliman daripada Allah (s.w.t). Dikatakan orang pertama yang mengatakan kebaikan dan keburukan adalah dijadikan dan ditetapkan oleh Allah (s.w.t) dengan kehendak dan kekuasaan-Nya ialah Mu„awiyah bin Abi Sufyan.58 Keadaan ini disebabkan corak dan bentuk pemerintahan mereka yang dikatakan zalim dan memudaratkan Islam dan umat Islam.59 Justeru kerana itu Bani Umaiyyah dikatakan lebih gemar mendokong pemikiran al- Jabariyyah dan sentiasa menyokong mereka dalam apa jua keadaan. Sebaliknya, sekiranya pemikiran al-Qadariyyah disokong, akan menyebabkan mereka terpaksa menanggung dosa dan kesalahan akibat perbuatan zalim terhadap umat Islam seluruhnya. Kedua: Aliran al-Qadariyyah dilihat sebagai bahaya kepada mereka kerana sikap dan penentangan mereka terhadap kekejaman dan penindasan yang dilakukan Bani Umaiyyah terhadap umat Islam secara umumnya, bahkan beberapa orang tokoh aliran tersebut dilihat terlibat dalam kumpulan yang menentang Bani Umaiyyah.60 Usaha-usaha untuk menumpaskan mereka dilakukan oleh para khalifah Bani Umaiyyah. Contohnya, di Syria, peranan dan gerakan al-Qadariyyah ditumpaskan oleh para khalifahnya manakala di Basrah pula, peranan dan gerakan tersebut terbatas kepada ketokohan „Amr bin „Ubayd. Aliran al-Qadariyyah yang dikatakan lebih bersifat mendiamkan diri seperti al-Hasan al-Basri dan muridnya, Qatadah bin Di„amah (m.117/735) sebaliknya lebih menonjol. Kumpulan kecil beraliran al-Qadariyyah yang lebih sederhana (moderate), yang mengikuti al- Hasan dan Qatadah diwakili para ahli hadith (al-muhaddithun) dan lain-lain, yang dikatakan terdiri daripada Sa„id bin Abu „Aruba al-„Adawi (m.156/773) dan alirannya, Hisyam bin Abi „Abd Allah al-Dastuwa‟i (m.153/770) dan anaknya, Mu„adh (m.200/815), Sallam bin Miskin al-Namari (m.164/781), Abu Hilal Muhammad bin Sulaym al-Rasibi (m.167/784), „Abd al-Wahhab bin „Ata‟ al-Khaffaf (m.204/820). Selain itu, aliran ini juga diikuti para tokoh zuhud dan qussas. Pada masa yang sama kemudiannya, suatu kumpulan ‘ilm al-kalam yang lebih kuat tertumpu kepada „Amr bin „Ubayd turut berkembang, yang seterusnya bergandingan dengan tokoh al-Mu„tazilah, Abu Salamah Hasan bin Dhakwan, „Amr bin Fa‟id al-Uswani, Hamzah bin Najih, Basyir al- Rahhal, „Abd al-Warith bin Sa„id al-Tannuri (m.180/796) dan Qadi „Abbad bin Mansur al- Naji (m.152/769). Kajian-kajian menunjukkan bahawa pada peringkat awal, pokok persoalan mengenai keadilan Allah diambil dan dijadikan asas perbincangan, dan bukannya kebebasan manusia melakukan keburukan. Seterusnya, Allah wajib memenuhi kata-Nya, wa‘d dan taklif bi-ma la yutaq adalah mustahil.61 57 Husayn „Utwan, al-Firaq al-Islamiyyah, h.41. 58 „Abd al-Jabbar, Fadl al-I‘tizal, h.143. 59 Lihat: Abu al-A„la al-Mawdudi, Khilafah wa al-Muluk, Dar al-Qalam, al-Kuwayt, Cet.I, 1398/1978. (Dikatakan kerana buku inilah, populariti Abu al-A„la al-Mawdudi menurun kerana banyak pendedahan yang tidak disukai telah dikemukakan mengenai fakta-fakta sejarah umat lslam zaman lampau). 60 Husayn „Utwan, op.cit, h.41-55. 61 J.Van Ess, op.cit, IV, h.371. 10
Description: