ebook img

Al-Tarikh Salasilah Negeri Kedah Darul Aman Sebuah Karya Agung Melayu Oleh Dr. Jelani Harun PDF

20 Pages·2017·0.76 MB·Indonesian
by  
Save to my drive
Quick download
Download
Most books are stored in the elastic cloud where traffic is expensive. For this reason, we have a limit on daily download.

Preview Al-Tarikh Salasilah Negeri Kedah Darul Aman Sebuah Karya Agung Melayu Oleh Dr. Jelani Harun

Al-Tarikh Salasilah Negeri Kedah Darul Aman Sebuah Karya Agung Melayu Oleh Dr. Jelani Harun Universiti Sains Malaysia [email protected] Pengenalan Al-Tarikh Salasilah Negeri Kedah Darul Aman tergolong sebagai sebuah karya historiografi yang berisi sejarah asal-usul raja-raja dan pembentukan negeri Kedah yang dilihat melalui kacamata seorang pengarang istana yang terlibat secara lansung dengan pentadbiran negeri ketika itu. Pengarang yang dimaksudkan ialah Muhammad Hassan bin Dato’ Kerani Muhammad Arshad yang berkhidmat sebagai Kerani Rahsia kepada Sultan Abdul Hamid Halim Syah (1881-1943). Karya yang dihasilkan pada tahun 1927 tersebut masih mengekalkan ciri-ciri penulisan sejarah tradisi di samping memperlihatkan berapa asas penulisan sejarah yang lebih moden. Bahagian akhir naskhah banyak memberikan catatan tentang hubungan dan konflik kerajaan Kedah dengan Siam dan bagaimana campur tangan pihak Inggeris dalam kemelut politik pemerintahan raja-raja Kedah sehingga terbentuknya Perjanjian Bangkok pada tahun 1909. Hal ini menjadikan karya historiografi tersebut sebagai sebuah sumber maklumat sejarah sosio-budaya yang penting dalam perkembangan institusi kesultanan Kedah yang masih wujud sehingga ke hari ini. Pelbagai kajian awal terhadap Al-Tarikh Salasilah Negeri Kedah Darul Aman telah pun dilakukan oleh sarjana yang meneliti sejarah Kedah masa silam. Sebuah kajian terbaharu boleh ditemui dalam Malay Kingship in Kedah oleh Falarti (2013: 31) yang melihat Al-Tarikh Salasilah Negeri Kedah Darul Aman sebagai sebuah sumber sejarah Kedah yang banyak menerima pengaruh daripada sebuah buku yang lebih awal berjudul Salasilah atau Tarikh Kerajaan Kedah yang dihasilkan oleh Wan Yahya bin Wan Muhammad Taib pada tahun 1911. Walau bagaimanapun, Falarti (2013: 27) juga tidak menafikan akan ciri pembaharuan pentarikhan yang terdapat dalam Al-Tarikh Salasilah Negeri Kedah Darul Aman yang 1 mengandungi “several key dates for events mentioned in Hikayat Merong Mahawangsa and Wan Yahya’s Salasilah atau Tarikh Kerajaan Kedah.” Di samping nilai sejarah, Al-Tarikh Salasilah Negeri Kedah Darul Aman turut mengandungi berbagai-bagai catatan penting tentang adab kenegaraan negeri Kedah yang merangkumi peraturan adat-istiadat, undang-undang dan panduan pemerintahan yang pernah menjadi amalan istana kesultanan Kedah pada masa lalu sebagai sebahagian daripada asas warisan ketamadunan raja-raja Melayu. Beberapa catatan awal tentang pembinaan negeri, kota, pelabuhan, bangunan, sungai dan jalanraya yang masih ada di Kedah pada masa kini turut tersurat dalam karya tersebut. Kekayaan dan kepentingan maklumat yang tersurat dan tersirat dalam Al-Tarikh Salasilah Negeri Kedah Darul Aman menjadikan naskhah tersebut sangat berharga dalam sejarah kesultanan Kedah dan sewajarnya diketengahkan sebagai salah sebuah Karya Agung Melayu yang lahir pada awal abad ke-20 yang lalu, malah juga perlu diketengahkan ke peringkat yang lebih tinggi sebagai sebuah Warisan Dunia. Manuskrip dan Pengarang Sehingga ke hari ini, satu-satunya manuskrip Al-Tarikh Salasilah Negeri Kedah Darul Aman yang diketahui wujud adalah sebuah manuskrip Jawi yang tersimpan di Pusat Dokumentasi Melayu, Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur (MS 100). Manuskrip tersebut terdiri daripada 146 halaman, berukuran 32 sm x 21 sm, bertulisan Jawi dengan menggunakan dakwat berwarna hitam dan merah. Manuskrip berada dalam keadaan yang kurang memuaskan akibat daripada dakwat hitam yang telah kembang dan meresapi ke beberapa bahagian kertas. Kertas mempunyai tanda tera air “Guthrie & Co. Ltd”. Pemilikan manuskrip asal oleh pihak Dewan Bahasa dan Pustaka ini sangat penting dalam konteks kewujudan naskhah Al-Tarikh Salasilah Negeri Kedah Darul Aman yang masih dapat dibaca dalam bentuknya yang asli tanpa apa-apa tokok-tambah daripada pengarang yang lain. Manuskrip telah dipindahkan ke bentuk digital sepenuhnya oleh pihak Dewan Bahasa dan Pustaka pada tahun 2016. 2 Ketiadaan salinan lain bagi manuskrip Al-Tarikh Salasilah Negeri Kedah Darul Aman mungkin berhubungan dengan kemunculan institusi percetakan di Pulau Pinang sekitar akhir abad ke-19 dan awal abad ke-20. Tidak lama selepas siap ditulis oleh Muhammad Hassan pada tahun 1927, manuskrip Jawi tersebut telah dicetak oleh Jelutung Press, Pulau Pinang, pada tahun 1928. Jelutung Press ialah syarikat percetakan milik Syed Syeikh al-Hadi yang aktif di Pulau Pinang ketika itu dan beralamat di No. 555, Jelutung Road, Pulau Pinang. Naskhah tersebut dicetak dalam tulisan Jawi pada 7 Rabiulawal 1347 (1928) yang terdiri daripada 440 halaman. Pada tahun 1968, manuskrip yang terdapat dalam simpanan Dewan Bahasa dan Pustaka telah ditransliterasi ke huruf Rumi oleh Mohd. Zahid Mohd. Shah dan diterbitkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka dengan judul Al-Tarikh Salasilah Negeri Kedah Darul Aman. Menurut catatan daripada Mohd. Zahid Mohd. Shah (Al-Tarikh Salasilah Negeri Kedah Darul Aman, 1968: xxi), manuskrip Al-Tarikh Salasilah Negeri Kedah Darul Aman diperolehi oleh pihak Dewan Bahasa dan Pustaka daripada Encik Soda bin Muhammad Hassan yang merupakan anak kepada pengarang tersebut. Oleh itu, besar kemungkinan karya historiografi tersebut adalah manuskrip yang asal daripada tulisan tangan Muhammad Hassan bin Dato’ Kerani Muhammad Arshad. Nama pengarang Al-Tarikh Salasilah Negeri Kedah Darul Aman tercatat dengan jelas pada bahagian kolofon manuskrip sebagai Muhammad Hassan anak Dato’ Kerani Muhammad Arshad. Muhammad Arshad adalah Kerani Rahsia kepada Sultan Ahmad Tajuddin Mukarram Syah (1854-1879). Malah pada bahagian kolofon tersebut, pengarang mencatatkan salasilah keturunannya yang berasal dari Yaman seperti berikut (Al-Tarikh Salasilah Negeri Kedah Darul Aman, 1928: 419): “Adapun yang menjunjungkan titah menzahirkan Tawarikh Salasilah ini Muhammad Hassan anak Dato’ Kerani Muhammad Arshad Rahsia al-Marhum Sultan Ahmad Tajuddin Mukarram Syah Yang Maha Mulia bin Tuan Syeikh Abu Bakar Kadhi bin Tuan Syeikh Abdul Kadir Mufti bin Tuan Syeikh Abdul Jalil Mufti bin Tuan Syeikh Abdul Wahab bin Tuan Syeikh Ahmad al-Mahdani, Yaman, bandar Sana’ah adanya.” 3 Pada bahagian mukadimah naskhah, pengarang mencatatkan bahawa perintah mengarang telah diterimanya daripada Tengku Ibrahim pada 1 Rejab 1345, bersamaan dengan 5 Januari 1927. Hal ini memperlihatkan penulisan Al-Tarikh Salasilah Negeri Kedah Darul Aman masih mengikut tradisi kepengarangan istana Melayu masa silam dalam mana pengarang masih berada di bawah naungan raja-raja dan menulis sejarah berasaskan permintaan pihak istana. Muhammad Hassan dilahirkan di Alor Setar, Kedah, pada tahun 1868 pada zaman pemerintahan Sultan Ahmad Tajuddin Mukarram Syah. Setelah kematian bapanya, Dato’ Kerani Muhammad Hassan telah dilantik menjadi Kerani Rahsia kepada Sultan Abdul Hamid Halim Syah (1881-1943) dan juga semasa pemerintahan Tengku Ibrahim selaku Pemangku Sultan Kedah (1913-1934). Tugas selaku Kerani Rahsia kepada Sultan Kedah memberi ruang yang besar kepada Muhammad Hassan untuk mengetahui pelbagai sejarah pemerintahan negeri Kedah. Hal tersebut banyak diceritakan oleh Muhammad Hassan dalam Al-Tarikh Salasilah Negeri Kedah Darul Aman, termasuk kehadiran beliau dalam beberapa siri lawatan Sultan Kedah ke luar negara. Kerani Muhammad Hassan memiliki banyak pengetahuan tentang hal-ehwal kesultanan Kedah pada zamannya dan berperanan sebagai sejarawan istana Kedah awal abad ke-20 itu. Muhammad Hassan meninggal dunia pada 30 September 1942 sewaktu Kedah berada di bawah pemerintahan Jepun. Karya Agung Melayu Negeri Kedah telah melahirkan beberapa buah karya besar yang berperanan dalam sejarah persuratan Melayu, antara lain terserlah melalui Hikayat Merong Mahawangsa, Undang- Undang Kedah dan Syair Sultan Maulana. Hikayat Merong Mahawangsa sudah pun diterbitkan oleh pihak Yayasan Karyawan sebagai sebuah Karya Agung Melayu pada tahun 1998 selaras dengan kekuatan dan keunikan isi kandungan karya historiografi tersebut. Naskhah seperti Undang-Undang Kedah juga memiliki keistimewaannya yang tersendiri dan boleh diketengahkan sebagai Karya Agung Melayu yang tidak kurang pentingnya. Pada tahun 2001, 4 sejumlah 2,951 pucuk warkah bertulisan Jawi daripada Sultan Abdul Hamid Halim Shah (1882- 1943) kepada Raja Chulalongkorn telah diiktiraf sebagai Memory of the World Register oleh UNESCO. Al-Tarikh Salasilah Negeri Kedah Darul Aman turut memiliki kedudukannya yang tersendiri dalam sejarah persuratan Kedah, sebuah karya yang lahir pada awal abad ke-20 tetapi masih berada dalam lingkungan tradisi kepengarangan istana Melayu. Terdapat banyak ciri yang memungkinkan karya tersebut dapat dikemukakan sebagai sebuah Karya Agung Melayu yang tidak kurang nilainya berbanding dengan Karya Agung Melayu yang lain. Malah, ciri-ciri Karya Agung Melayu yang terdapat dalam Al-Tarikh Salasilah Negeri Kedah Darul Aman adalah ciri-ciri yang selaras dengan kekuatan naskhah tersebut untuk diketengahkan sebagai sebuah Warisan Dunia. Antara ciri yang dimaksudkan boleh diringkaskan seperti berikut: 1. Al-Tarikh Salasilah Negeri Kedah Darul Aman merupakan sebuah karya berbahasa Melayu yang lahir dalam zaman kegemilangan institusi kesultanan Melayu di Negeri Kedah pada awal abad ke-20, khususnya di bawah naungan tradisi persuratan istana Melayu. Karya yang lahir dalam tempoh tersebut memperlihatkan ciri-ciri persuratan yang telah menerima pengaruh yang jelas daripada agama Islam sebagai sumber peradaban Melayu. Istana ialah pusat peradaban, tempat berkembangnya ilmu pengetahuan dan tempat berkumpul cendekiawan dan intelektual dalam menghasilkan karya terbaik dalam sejarah peradaban bangsa Melayu. 2. Al-Tarikh Salasilah Negeri Kedah Darul Aman memiliki suatu kesatuan struktur yang jelas dan kukuh dari permulaan sampai ke akhir dan mengandungi bahagian mukadimah dan kolofonnya. Karya tersebut juga mengandungi pernyataan pengarang yang jelas tentang apakah tujuan, untuk siapa, bila dan di mana tempat karya dihasilkan. 3. Isi kandungan Al-Tarikh Salasilah Negeri Kedah Darul Aman menampilkan sejarah kesultanan Kedah yang selaras dengan sejarah negara. Walau bagaimanapun, konsep pensejarahan Kedah tersebut tidak semestinya sama dengan prinsip-prinsip penulisan sejarah moden. Kewujudan beberapa aspek mitos, legenda dan cerita luar biasa pada bahagian awal 5 karya tersebut memberi latar kepada pembentukan sejarah Kedah dan boleh diterima sebagai citra warisan yang memperkaya Karya Agung Melayu. 4. Di samping rentetan peristiwa sejarah, kekuatan Karya Agung Melayu juga tampil melalui kisah hidup peribadi tertentu sebagai tokoh agung dalam sejarah bangsa. Tokoh yang lahir pada satu-satu zaman ialah penanda kepada keunggulan peradaban bangsa yang merentasi zaman, model, ikon atau contoh tauladan kepada generasi yang seterusnya. Al-Tarikh Salasilah Negeri Kedah Darul Aman banyak memerikan riwayat hidup raja-raja, pembesar dan alim ulama yang tersohor di negeri Kedah, antara lain termasuklah Sultan Mahmud Syah 1, Sultan Muhammad Jiwa, Tengku Anom dan Syeikh Abdul Jalil. 5. Karya Agung Melayu menampilkan ketinggian falsafah bangsa, kehalusan seni bahasa dan persuratan Melayu yang sangat istimewa, kaya dengan makna tersurat dan tersirat, metafora dan kias ibarat yang melambangkan akal budi, adab dan sopan santun kepengarangan Melayu warisan zaman. Ciri-ciri penulisan sejarah dan adab kenegaraan yang terdapat dalam Al-Tarikh Salasilah Negeri Kedah Darul Aman mampu mencetuskan pelbagai tafsiran terhadapnya dan sentiasa malar segar dalam penghayatan masyarakat sepanjang zaman. 6. Ciri mahakarya sesebuah Karya Agung Melayu semakin terserlah sekiranya menampilkan nama pengarangnya dengan jelas berbanding dengan karya yang tidak mencatatkan nama pengarangnya. Sebuah karya besar seharusnya lahir daripada kepengarangan seorang pengarang yang juga hebat, kaya dengan daya kreativiti, berilmu dan berpengalaman luas pada zamannya. Pengarang Karya Agung Melayu juga ialah tokoh dan ikon kepimpinan Melayu yang tidak kurang cendekianya. Al-Tarikh Salasilah Negeri Kedah Darul Aman adalah karya nukilan Muhammad Hassan bin Dato’ Kerani Muhammad Arshad yang berkhidmat selaku Kerani Rahsia kepada sultan Kedah. 7. Dalam konteks politik kenegaraan Melayu, karya yang memiliki ciri Karya Agung Melayu sewajarnya menampilkan prinsip-prinsip asas pembinaan kerajaan dan negara yang berteraskan 6 budaya hidup masyarakat Melayu, nilai murni dan semangat patriotik, rasa cinta dan bangga akan bangsa. Karya dapat memperlihatkan ciri asas pembentukan institusi kesultanan Melayu dengan jelas, aturan kestabilan tadbir urus kerajaan, kuasa perundangan dan pautannya dengan ciri kenegaraan Islam. Semua hal ini dapat ditemui dengan ketara dalam Al-Tarikh Salasilah Negeri Kedah Darul Aman, terutamanya ketika Kedah menghadapi konflik dengan pihak Siam, Bugis, Aceh dan Inggeris. Pensejarahan Kedah Sebagai sebuah historiografi, Al-Tarikh Salasilah Negeri Kedah Darul Aman mencatatkan asal- usul negeri Kedah yang bermula dengan nama Qalha, tempat pertemuan empat buah kuala sungai, iaitu Sungai Qilah (Kuala Merbok), Kuala Bahang (Kuala Kedah), Kuala Merpah (Kuala Murpah) dan Kuala Bara. Raja Kedah pula bermula dengan Maharaja Derbar Raja yang berasal dari Parsi. Setelah mengalami kekalahan dalam perang, Maharaja Derbar Raja melarikan diri sehingga sampai ke Qalha lalu mengasaskan pemerintahan baginda di situ. Maharaja Derbar Raja juga dicatatkan telah membuka Kota Langkasuka. Sumber dan tarikh berlakunya peristiwa yang berhubungan dengan kedatangan Maharaja Derbar Raja dari Parsi tiada dinyatakan oleh Muhammad Hassan, dan hal ini boleh menimbulkan tanda tanya kepada pembaca. Dalam Hikayat Terung Pipit, ada tercatat nama Kedah sebagai Negeri Lindung Bulan Kedah Tua. Selepas kemangkatan Maharaja Derbar Raja, pemerintahan Qalha diteruskan oleh beberapa orang zuriat baginda sehinggalah ke zaman pemerintahan Seri Paduka Maha Jiwa yang meramaikan Pulau Langkawi. Seri Paduka Maha Jiwa digantikan oleh putera baginda yang bernama Seri Paduka Derbar Raja. Pada tahun 531 Hijrah, Syeikh Abdullah tiba di Qalha dari Yaman dan mengislamkan Seri Paduka Maharaja Derbar Raja serta menukar nama baginda kepada Sultan al-Muzaffar Syah. Nama Qalha pula ditukar menjadi Kedah Darul Aman. Kedatangan Syeikh Abdullah dari Yaman merupakan suatu peristiwa yang sangat penting 7 dalam sejarah Kedah terutamanya dari sudut pengislaman raja Kedah dan penukaran nama Kedah yang berkekalan sehingga ke hari ini. Tarikh 531 Hijrah tersebut adalah bersamaan dengan tahun 1136 Masihi, suatu tarikh yang jauh lebih awal daripada Batu Bersurat Terengganu (1303) atau kedatangan Islam ke Melaka sekitar awal abad ke-15. Syeikh Abdullah kemudian telah membina sebuah menara di puncak Gunung Jerai dan akhirnya meninggal dunia di situ (Padang To’ Syeikh). Al-Tarikh Salasilah Negeri Kedah Darul Aman seterusnya menceritakan beberapa peristiwa penting yang berlaku dalam zaman pemerintahan zuriat sultan Kedah mengikut kronologi masa lengkap dengan catatan tarikhnya. Pembangunan Kedah tergambar melalui pembukaan bandar yang baharu, pembinaan bangunan, jalan raya, sungai, parit, sawah, dan demikian juga dengan kemajuan dalam urusan perdagangan, pendidikan, agama, dan sebagainya. Sultan Muhammad Jiwa telah membuka Kota Setar pada tahun 1148 Hijrah (1735) dan Kota Anak Bukit pada tahun 1151 Hijrah (1738). Sultan Abdullah Mukarram Syah menitahkan pembinaan kota batu di Kuala Bahang (sekarang Kota Kuala Kedah). Pada tahun 1205 Hijrah (1790) Sultan Abdullah Mukarram Syah membuat surat perjanjian dengan Kapten Light untuk menyerahkan Pulau Pinang kepada Syarikat Hindia Timur “selagi ada matahari dan bulan”. Syarikat Hindia Timur akan membayar sebanyak 6000 ringgit setahun kepada sultan Kedah. Sementara, Sultan Dhia’uddin Mukarram Syah pada tahun 1217 Hijrah (1802) telah membuat surat perjanjian dengan Sir George Leith Baronet untuk menyerahkan Seberang Perai kepada Syarikat Hindia Timur. Syarikat tersebut berjanji akan membayar 4000 ringgit setahun kepada Sultan Abdullah Mukarram Syah hingga anak cucunya “selagi ada matahari dan bulan”. Kedua-dua perjanjian yang sudah berusia melebihi 200 tahun tersebut sewajarnya diberi penilaian semula oleh kerajaan Negeri Kedah pada hari ini. Di samping itu, raja-raja Kedah tidak terlepas daripada berbagai-bagai ancaman peperangan terutamanya dengan Aceh, Siam, dan Inggeris. Ada pembesar yang tertuduh sebagai pengkhianat (seperti Tengku Yaakob) dan ada pembesar yang disanjung sebagai pembela kerajaan (seperti Tengku Anom). Penceritaan berakhir sehingga ke zaman 8 pemerintahan Sultan Abdul Hamid Halim Syah yang menaiki takhta Kedah pada tahun 1881 dalam mana kuasa dan pengaruh Inggeris semakin kuat mencengkam pentadbiran istana kesultanan Kedah. Beberapa siri perang antara Kedah-Siam ada diceritakan oleh Muhammad Hassan yang memiliki persamaan dan perbezaannya berbanding dengan cerita perang Kedah- Siam seperti tersurat dalam Syair Sultan Maulana. Sebagai seorang pengarang pada awal abad ke-20, Muhammad Hassan masih kuat terikat dengan konvensi penulisan sejarah istana kesultanan Melayu, menulis berdasarkan sumber-sumber yang ada di istana, malah juga perlu mengikut kehendak raja pemerintah kerajaan. Dalam hal ini ternyata Muhammad Hassan telah meninggalkan penulisan yang berasaskan hikayat dan mitos seperti yang banyak muncul dalam Hikayat Terung Pipit dan Hikayat Merong Mahawangsa. Sebaliknya beliau lebih berpusat kepada menceritakan sejarah kesultanan Kedah mengikut kronologi masa dengan memberikan tumpuan kepada raja, pembesar dan alim ulama yang berperanan dalam sejarah Kedah pada satu-satu masa itu. Nilai sebenar penulisan sejarah yang tersurat dalam Al-Tarikh Salasilah Negeri Kedah Darul Aman memerlukan pelbagai kajian yang lebih mendalam daripada para sarjana, termasuk secara membandingkannya dengan dokumen-dokumen sejarah Kedah yang lain. Adab Kenegaraan Di samping nilai sejarah, naskhah Al-Tarikh Salasilah Negeri Kedah Darul Aman memiliki suatu sisi penulisan adab kenegaraan yang tidak kurang pentingnya, terutamanya dalam konteks istana kesultanan Kedah pada awal abad ke-20 yang lalu. Adab kenegaraan yang dimaksudkan berhubungan dengan berbagai-bagai panduan dan nasihat pemerintahan yang baik yang diberikan oleh pengarang kepada raja-raja dan para pembesar khususnya yang berteraskan keadilan dalam Islam. Muhammad Hassan banyak memberi panduan kepada raja-raja Kedah supaya mengamalkan keadilan dalam pemerintahan, antaranya muncul dalam sebuah “wasiat” Syeikh Abdullah kepada Sultan Muzaffar Syah sewaktu syeikh tersebut hampir meninggal dunia seperti berikut (Al-Tarikh Salasilah Negeri Kedah Darul Aman, 1928: 35): 9 Hendaklah Syah Alam berbanyak sabar dan ihsan dan insaf di atas sekalian hamba Allah isi negeri maka itulah makam segala raja. Wasiat adalah salah satu medium nasihat adab kenegaraan yang berkesan kepada para pemerintah, seperti yang telah muncul lebih awal dalam Hikayat Raja Pasai dan Sulalatus Salatin (Sejarah Melayu). Raja yang adil harus sentiasa memelihara keamanan dan kesejahteraan negara dan rakyat. Perkara tersebut sangat diberikan perhatian oleh Muhammad Hassan, antara lain melalui gambaran tentang pemerintahan Sultan Mahmud Syah I (1280- 1321). Baginda telah membuat peraturan timbangan dan sukatan di Kedah bagi kemudahan urus niaga segala rakyat. Peri keadilan Sultan Mahmud Syah I tergambar seperti berikut (Al- Tarikh Salasilah Negeri Kedah Darul Aman, 1928: 36): Maka tetaplah Sultan Mahmud Syah di atas takhta kerajaan memerintah kerajaan negeri Kedah dengan segala menteri-menteri penggawanya dengan adilnya serta sangat kasih akan segala menteri-menteri penggawanya dan sentiasa mengambil insaf di atas segala rakyat isi negeri. Sultan Muhammad Jiwa mendapat perhatian yang lebih khusus lagi daripada Muhammad Hassan sebagai seorang sultan yang dikatakan suka mengembara ke luar negeri mencari ilmu pengetahuan. Sejak zaman muda, baginda menyamarkan diri pergi ke Palembang berguru dengan Syeikh Abdul Jalil, malah mengikut syeikh tersebut berkelana ke Jawa dan India. Selepas kemangkatan ayahanda baginda (Sultan Abdullah al-Muazzam Syah), Sultan Muhammad Jiwa menaiki takhta kesultanan Kedah dan melantik Syeikh Abdul Jalil sebagai mufti kerajaan. Syeikh Abdul Jalil adalah moyang kepada Muhammad Hassan. Dalam Al- Tarikh Salasilah Negeri Kedah Darul Aman, keperibadian Sultan Muhammad Jiwa tampil sebagai contoh seorang pemerintah yang dikasihi oleh pembesar dan rakyat. Kekuatan dan kesempurnaan pemerintahan seorang raja sangat bergantung kepada kebijaksanaan para pembesar yang membantu baginda melaksanakan urusan kerajaan. Naskhah Al-Tarikh Salasilah Negeri Kedah Darul Aman banyak memuatkan kisah pelantikan para pembesar dan peranan mereka dalam pentadbiran istana terutamanya Raja Bendahara, Temenggung, Mufti, Kadi dan para menteri yang lainnya. Berbagai-bagai nasihat turut 10

Description:
Al-Tarikh Salasilah Negeri Kedah Darul Aman tergolong sebagai sebuah karya historiografi yang berisi sejarah asal-usul raja-raja dan pembentukan
See more

The list of books you might like

Most books are stored in the elastic cloud where traffic is expensive. For this reason, we have a limit on daily download.